Rapat jurang pendidikan bandar, luar bandar, pedalaman
SEREMBAN - Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) menyambut baik peruntukan besar dalam Belanjawan 2023 yang diberikan kepada sektor pendidikan iaitu sebanyak RM55.2 bilion berbanding RM52.6 bilion pada tahun sebelumnya.
Presidennya, Mohd Azizee Hasan berkata, peruntukan tertinggi terhadap sektor itu diharap mampu merapatkan jurang pendidikan antara bandar, luar bandar dan pedalaman.
Menurutnya, hal itu dapat dilihat melalui usaha kerajaan untuk menaik taraf bangunan serta infrastruktur di 380 sekolah daif di seluruh negara, khususnya di Sabah dan Sarawak.
"Selain mengatasi sekolah daif, ia termasuk juga penyelenggaran sekolah dan asrama, infrastruktur untuk sekolah orang kurang upaya (OKU) dan pembaikpulihan dewan sekolah," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Ujarnya, ia perlu dilaksanakan dengan penuh ketelusan dan tiada kebocoran bagi memastikan aspek kualiti dan keselamatan bangunan selamat dan ditahap yang baik.
"Begitu juga penambahan sebanyak RM152 juta menjadi RM777 juta yang akan membantu perkembangan minda murid-murid dengan mendapat kualiti makanan dan nutrisi yang baik. Ia akan membantu pendidikan berkualiti kepada anak-anak keluarga B40 yang rata- rata dari keluarga miskin.
"Pada masa yang sama juga bantuan makanan ini diberikan juga kepada anak-anak pra sekolah melibatkan 240,000 murid dengan peruntukan RM108 juta dengan kenaikan RM19 juta daripada sebelum ini," katanya.
Selain itu katanya, langkah kerajaan memberikan 50,000 komputer riba kepada sekolah-sekolah diharap membantu meningkatkan kualiti pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) guru dalam pengajaran dan pembelajaran terutama memanfaatkan pembelajaran secara digital.
"Kita juga berterima kasih kerana kenaikan elaun sebanyak RM100 kepada guru- guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) menjadikan elaun mereka RM1,100, namun ini belum mencukupi untuk menjadikan kerjaya guru KAFA sebagai satu perjawatan tetap," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!