J-KOM rangka pelan strategik, modul Malaysia Madani
MACHANG - Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Jabatan Perdana Menteri merangka pelan strategik dan modul Malaysia Madani yang dijangka siap dalam tempoh tiga bulan lagi.
Ketua Pengarah J-KOM di Jabatan Perdana Menteri, Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, pelan dan modul tersebut akan memfokuskan kepada aspek serta hala tuju ke arah mencapai matlamat konsep berkenaan.
“Keutamaan yang menjadi asas, teras J-KOM dalam membina pelan dan modul strategik itu bertujuan menghubungkan antara rakyat dengan kerajaan serta sebaliknya, meningkatkan patriotisme dan memotivasikan masyarakat menerusi membudayakan ilmu.
“Pelan akan menumpukan untuk negara bagi mencapai misi dan visi Malaysia Madani,” katanya selepas merasmikan Majlis Penerangan Konsep Malaysia Madani dalam Pendidikan di Sekolah Kebangsaan Tok Bok, di sini, pada Sabtu.
Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Machang, Rok Man Mohammad.
Dr Mohammad Agus berkata, usaha tersebut bukan sesuatu yang mudah dan J-KOM bekerjasama dengan pakar-pakar akademik serta kumpulan penyelidik dari beberapa universiti tempatan untuk berbincang.
“Pada akhirnya, kita hendak mempunyai indikator atau nilai ukur kepada konsep Malaysia Madani tersebut.
“Pelbagai modul ditawarkan dan dicadangkan kepada J-KOM, kita masih lagi dalam peringkat perbincangan untuk mendapat indeks yang lebih baik,” katanya.
Menurut beliau, akan ada satu badan yang akan ditubuhkan untuk menyelaraskan pelan tersebut.
“Pelan itu dikeluarkan untuk menyelaraskan dengan kementerian-kementerian dan agensi-agensi lain bagi kegunaan kemudian hari.
“Tiap-tiap kementerian dan jabatan mengadakan modul masing-masing namun setakat ini belum ada penyelarasan dibuat,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan Malaysia Madani yang berteraskan enam rukun iaitu Kemampanan Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan dalam usaha mengangkat semula martabat serta kegemilangan negara di persada dunia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!