Hantaran Liridon bikin TMJ 'geram'
TINDAKAN pemain pinjaman Johor Darul Ta'zim (JDT), Liridon Krasniqi yang meluahkan sokongan kepada pasukan baharunya, Terengganu FC (TFC) sempena aksi Piala Sultan Haji Ahmad Shah mengundang padah.
Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang juga pemilik JDT, seakan bengang dengan hantaran Liridon di laman sosialnya itu.
Pemain berusia 31 tahun itu memuat naik hantaran ucapan maju jaya itu sebelum pertembungan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada malam Jumaat.
"Selamat maju jaya rakan sepasukan. Sayangnya, saya tidak dapat bersama pada aksi kali ini. Jangan putus asa, kita mampu melakukannya," kata Liridon.
Bagaimanapun, catatan itu menerima reaksi segera Tunku Ismail yang mengesyorkan rakan sepasukan baharu membayar gajinya.
"Beritahu rakan sepasukan kamu untuk bayar gaji kamu," balas Tunku Ismail.
Hantaran tersebut bagaimanapun selepas itu dipadam oleh Tunku Ismail termasuk Liridon.
Pemain naturalisasi berkenaan tidak dapat diturunkan susulan syarat pinjaman yang dipersetujui kedua-dua pasukan.
Berdasarkan syarat itu, pemain JDT yang berstatus pinjaman tidak boleh beraksi menentang skuad Harimau Selatan.
Pada aksi pembuka tirai Liga Malaysia itu, JDT memenangi piala berkenaan setelah mengalahkan TFC 2-0.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!