SAHOCA Rugby Club sambut baik cadangan bina stadium ragbi

Thoriq (dua dari kiri) menunjukkan jersi pasukan ragbi tersebut pada Majlis Pengenalan Penaja dan Pelancaran Jersi SAHOCA Rugby Club di sebuah hotel, di Alor Setar, pada Sabtu.
Thoriq (dua dari kiri) menunjukkan jersi pasukan ragbi tersebut pada Majlis Pengenalan Penaja dan Pelancaran Jersi SAHOCA Rugby Club di sebuah hotel, di Alor Setar, pada Sabtu.
A
A
A

PERSATUAN Bekas Pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid (SAHOCA) Rugby Club menyambut baik cadangan Kedah membina stadium ragbi di negeri ini.

Presidennya, Thoriq Othman berkata, pihaknya menyifatkan cadangan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk membina stadium itu adalah usaha sangat baik.

"Mungkin pada peringkat permulaan, kita buat secara kecil-kecilan, yang mana tidak perlu cari (lokasi) besar seperti stadium mungkin (saiz) kompleks sukan yang (memuatkan) 5,000 penonton dahulu untuk satu kejohanan," katanya.

"Ia memandangkan Kedah terkenal sebagai kilang pengeluar pemain ragbi untuk satu tempoh, kita memang ada pemain berbakat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengenalan Penaja dan Pelancaran Jersi SAHOCA Rugby Club di sebuah hotel, di Alor Setar, pada Sabtu.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya amat mengalu-alukan cadangan terbabit memandangkan Kedah bukan hanya memiliki pemain berbakat, malah sukan itu mendapat sambutan ramai.

Thoriq berkata, ia terbukti dengan kehadiran ramai penonton ketika kejohanan ragbi yang pernah diadakan di stadium-stadium sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan, SAHOCA Rugby Club merupakan pasukan ragbi terdiri daripada bekas pelajar kolej terkemuka di Kedah itu.

Kata Thoriq, pasukan ragbi terbabit ditubuhkan bagi mengeratkan silaturahim sekali gus membolehkan alumni menyertai pelbagai kejohanan ragbi di seluruh negara.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Kedah akan menyediakan lebih banyak kemudahan sukan yang berpotensi dibangunkan serta dapat menyumbang pingat dalam semua peringkat pertandingan.

Muhammad Sanusi berkata, antara perancangan termasuk membina stadium ragbi berikutan Kedah antara tempat yang melahirkan ramai pemain ragbi berbakat.

Menurutnya, kerajaan negeri sedang mengenal pasti tapak dan lokasi bersesuaian bagi pembinaan stadium ragbi pertama untuk melengkapkan kemudahan sukan di negeri ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!