14 syarikat tunai zakat lebih RM24 juta

Sultan Sharafuddin (dua dari kanan) berkenan menerima serahan zakat perniagaan daripada Gas Malaysia Berhad diwakili Ahmad Hashimi (dua dari kiri) berjumlah RM3.5 juta.
Sultan Sharafuddin (dua dari kanan) berkenan menerima serahan zakat perniagaan daripada Gas Malaysia Berhad diwakili Ahmad Hashimi (dua dari kiri) berjumlah RM3.5 juta.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 14 syarikat korporat menunaikan zakat perniagaan kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) lebih RM24 juta.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima serahan zakat perniagaan tersebut dalam satu upacara yang diadakan di Istana Bukit Kayangan di sini pada Jumaat.

LZS menerusi kemas kini di Facebook berkata, Gas Malaysia Berhad yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Hashimi Abdul Manap mendahului senarai syarikat dengan menyerahkan zakat berjumlah RM3.5 juta.

"Ia diikuti DRB-HICOM Berhad yang mewakilkan Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed A.R Albar menunaikan zakat sebanyak RM2. 86 juta.

"Northport Malaysia Berhad diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azman Shah Mohd Yusof menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM2. 64 juta," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Ujar kenyataan itu, turut menunaikan zakat perniagaan adalah UMW Holdings Berhad menyerahkan zakat perniagaan hampir RM2.2 juta, Tenaga Nasional Berhad (RM2. 05 juta), Celcom, Digi (RM1.64 juta), Malaysia Airports Holdings Berhad (RM1. 39 juta) dan QSR Brands (M) Holdings Berhad (RM1. 3 juta)

"Ini diikuti oleh Cyberview (RM1. 28 juta), Nuemera (M) Sdn Bhd (RM1. 09 juta) dan Koperasi Kakitangan Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (RM1. 02 juta).

"Sementara CIMB Islamic Bank Berhad, Kumpulan Semesta Sdn Bhd dan KMF Network masing-masing membuat serahan zakat perniagaan sebanyak RM1 juta," ujar kenyataan itu.

Turut hadir dalam upacara tersebut Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!