Tak boleh main lato-lato di stadium
PEMILIK Kelantan FC, Norizam Tukiman tidak membenarkan penyokong bola sepak membawa lato-lato ketika menyaksikan saingan Liga Super antara Kelantan FC dan Kuching City FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu petang ini.
“Lato-lato diharamkan masuk ke stadium untuk perlawanan petang ini,” kata Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham di laman sosial Facebook miliknya.
Aksi sulung Liga Super antara kedua-dua pasukan itu dijadualkan bermula jam 5:30 petang.
'Pengharaman' lato-lato itu turut disambut baik rata-rata penyokong bola sepak tempatan, malah mereka turut menyifatkan bunyi permainan tersebut mengganggu tumpuan penonton di stadium.
“Harap semua stadium boleh mengharamkan permainan lato-lato. Bunyi yang cukup menyesakkan jiwa dan boleh bikin panas,” kata seorang penyokong.
Menurut seorang lagi penyokong; “Setuju benar bos Norizam haramkan lato-lato di stadium, buat ganggu kita yang nak tengok bola saja.”
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!