Fokus laksana perancangan, perubahan untuk rakyat
PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua timbalan menteri di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinannya memberi fokus kepada pelaksanaan perancangan serta perubahan yang akan memberi manfaat kepada rakyat.
Ia antara amanat disampaikan Anwar yang juga Menteri Kewangan pada program Pemukiman Timbalan-Timbalan Menteri Kerajaan Perpaduan 2023 di Seri Perdana di sini, yang dihadiri semua timbalan menteri.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata, Perdana Menteri amat fokus terhadap prestasi kerajaan pimpinannya dan menegaskan mahu semua timbalan menteri membawa reformasi dalam masa singkat.
"Beliau (Anwar) berpandangan rakyat tidak sabar lagi dan mereka ingin nampak hasil secepat mungkin. Ini peringatan penting bagi semua yang pegang jawatan untuk beri fokus bawa perubahan dalam tempoh singkat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program pemukiman itu.
Sesi pemukiman itu berlangsung lebih satu jam itu turut disertai Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Datuk Johan Mahmood Merican.
Dalam sesi pemukiman itu, Teo berkata timbalan-timbalan menteri turut menerima taklimat daripada tokoh penting dalam kerajaan termasuk Mohd Zuki dan Johan.
"Saya juga amat berbesar hati kerana Perdana Menteri cukup sabar dan jawab soalan kami (timbalan menteri) sepanjang sesi ini. Sesi ini banyak isu yang dibangkitkan timbalan menteri,” katanya.
Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena program itu berkata pemukiman itu dilaksanakan bagi memperkukuh dan memantapkan kesepakatan dan kesepaduan dalam kalangan timbalan menteri Kerajaan Perpaduan.
JPM berkata, program itu adalah selaras dengan hasrat perdana menteri dalam menterjemahkan agenda islah dan reformasi dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Program permukiman hari ini diisi dengan sesi taklimat khas mencakupi aspek-aspek penting ke arah pemantapan penyampaian perkhidmatan dan pengukuhan tata kelola atau tadbir urus jentera kerajaan.
Aspek itu merangkumi petunjuk prestasi utama (KPI) Madani Kerajaan Perpaduan, Struktur Kerajaan dan Hal Ehwal Pentadbiran Awam, Pengurusan Kewangan dan Perolehan Kerajaan, Integriti dan Tata kelola Organisasi, Protokol Kerajaan dan Profesionalisme serta Komunikasi Media. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!