RM50 juta bantu tingkat keupayaan JBPM hadapi banjir

Gambar hiasan - Foto fail Bernama
Gambar hiasan - Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyambut baik peruntukan kewangan yang diberikan kerajaan kepada pihak petugas dan penyelamat bencana alam di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, peruntukan yang diluluskan dalam Belanjawan 2023 itu jelas membuktikan keprihatinan kerajaan untuk memantapkan pasukan penyelamat bagi menjalankan tugas dengan lebih baik.

Beliau berkata, peruntukan Belanjawan 2023: Membangun Malaysia Madani sebanyak RM50 juta bagi mendepani musibah bencana merupakan satu jumlah yang sewajarnya diberikan.

"Saya mewakili JBPM amat berterima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga selaku Menteri Kewangan di atas keprihatinan beliau kepada pasukan penyelamat negara.

"Dengan menyediakan peruntukan khas dalam Belanjawan 2023 sebanyak RM50 juta, maka ia dapat digunakan untuk tujuan perolehan aset dan kelengkapan mendepani musibah banjir.

"Peruntukan khas ini akan digunakan sebaiknya oleh JBPM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela)," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Abdul Wahab berkata, menerusi peruntukan yang disediakan oleh kerajaan itu, ia bakal membolehkan JBPM membuat penggantian dan penambahan aset dari semasa ke semasa.

Tambahnya lagi, menerusi kelengkapan dan aset baharu yang lebih baik, diharap JBPM dapat memberi perkhimatan dengan lebih meluas, cepat dan selamat sepanjang bertugas membantu orang ramai.

"Peruntukan RM50 juta itu melibatkan peruntukan aset, sistem amaran serta bantuan banjir kepada Rela, ATM dan JBPM.

"Diharap ia mampu meningkatkan keupayaan kami sebagai pasukan penyelamat semasa menjalankan tugas ketika bencana banjir dengan lebih baik, sekali gus menyelamat mangsa dan nyawa orang ramai," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!