Muzakkir lakar rekod baharu sesi kelayakan di Sepang
KEJUARAAN Petronas Malaysian Cub Prix musim ke-30 bermula di Litar Sepang Antarabangsa pada Sabtu.
Md Muzakkir Mohamed dari ONEXOX TKKR Racing Team telah tampil dengan rekod terbaharu di sesi kelayakan kategori CP150 yang berlangsung pada petang tadi.
Muzakkir telah mencatatkan masa 1’17:621s dan 1’17:361s masing-masing pada sesi latihan bebas satu dan dua yang berlangsung pada pagi tadi.
Namun begitu, pada sesi kelayakan yang berlangsung selama 20 minit tadi, beliau berjaya mendahului pelumba-pelumba lain dengan jurang masa sebanyak 0.616s apabila Muzakkir mencatatkan masa 1’15:813s.
Pada musim lepas, beliau telah mendapat tempat kesebelas secara keseluruhan dengan kumpulan sebanyak 51 mata.
Walaupun Muzakkir tidak berkesempatan menaiki podium pada musim lepas, beliau telah memulakan musim baharu dengan nada yang positif dengan pencapaian pada petang tadi.
Rekod terlebih dahulu dipegang oleh Azroy Hakeem Anuar dari Honda Yuzy Estremo Team dengan catatan masa 1’16:426s pada tahun 2020.
Menurut Muzakkir, “Catatan masa ini tidak dijangka tetapi ia adalah suatu pencapaian yang baik bagi saya.
"Pada musim ini, cabaran sudah pasti ada, lebih-lebih lagi, dengan para pelumba yang amat berpengalaman.
Setiap tahun, prestasi para pelumba berubah, mereka lebih berkemahiran dan lebih mantap. Namun begitu, saya akan menggunakan pengalaman saya untuk memperbaiki prestasi saya pada musim ini dan mencapai suatu tahap yang lebih baik daripada musim lepas.”
Azroy Hakeem Anuar dari Honda Yuzy Estremo Team mencatatkan masa kedua terpantas dengan catatan masa 1’16:429s.
Tempat ketiga terpantas pula dicatatkan oleh Ahmad Afif Amran dari Petronas Sprinta Yamaha – CKJ Racing dengan catatan masa 1’16:593s.
Bagi kategori CP125, Md Syafiq Ezzariq Saiful Nizam dari Jetron Yamaha YYPang Racing Team mencatatkan masa terpantas bagi sesi kelayakan.
Syafiq yang menyertai Jetron Yamaha YYPang Racing Team pada musim lepas bagi kategori CP150 memulakan aspirasi baharu di kategori CP125 pada musim ini.
Beliau yang mempunyai pengalaman selama 10 tahun agak yakin dengan persembahan pada petang tadi apabila beliau mencatatkan masa terpantas pada 1’22:532s.
Menurut Syafiq, “Kategori CP150 memang agak mencabar dan saya tidak dapat memberikan persembahan terbaik. Peralihan dari kategori CP150 ke CP125 tidak semudah yang disangka. Walaupun jenteranya tidak sepantas jentera CP150, kerana masih perlu menyesuaikan diri dengan “chassis” jentera ini. Saya telah banyakkan latihan dan saya rasa lebih yakin. Untuk perlumbaan esok (Ahad), saya harap dapat naik ke podium.”
Tempat kedua terpantas menjadi milik Md Syafiq Rosli dari Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor dengan catatan masa 1’22:608s.
Di tempat ketiga terpantas adalah Md Fareez Afeez Abd Rahman dari Jetron Yamaha YYPang Racing Team dengan catatan masa 1’22:644s.
Dalam pada itu, Amirul Haziq Johan dari Petronas Sprinta Yamaha – 31 Racing mencatatkan masa terpantas bagi kategori Wira KBS pada petang ini.
Pada pagi tadi, Amirun mencatatkan masa 1’27:497s dan 1’26:489s masing-masing bagi sesi latihan bebas satu dan dua.
Catatan masa itu diperbaiki lagi apabila beliau mencatatkan 1’25:204s di sesi kelayakan yang berlangsung selama 15 minit.
Pada musim lepas, Amirun mendapat tempat keenam secara keseluruhan dengan satu kemenangan pada pusingan kesembilan dan jumlah sebanyak 61 mata.
Ini adalah suatu permulaan yang bagus bagi Amirun pada musim ini.
Menurut Amirun, “Musim lepas adalah tahun pertama saya di kategori Wira KBS. Oleh itu, cabarannya memang besar. Musim ini, saya telah melebihkan latihan dan agak yakin. Lebih-lebih lagi dengan keadaan jentera saya yang agak bagus. Saya memang suka litar Sepang tetapi seperti biasa saingan daripada pelumba-pelumba lain tetap ada. Namun begitu, saya akan buat yang terbaik.”
Tempat kedua terpantas milik Md Adib Arsyad Mohd Hisam dari Yamaha Estremo 27 Racing dengan catatan masa 1’25:850s dan tempat ketiga terpantas di ambil oleh rakan sepasukannya Ahmad Iqram Danish dengan catatan masa 1’25:893s.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!