Seluar jeans beg udara lindungi penunggang motosikal

Seluar jeans beg udara dipercayai dapat mengurangkan impak kemalangan. - Agensi
Seluar jeans beg udara dipercayai dapat mengurangkan impak kemalangan. - Agensi
A
A
A

STOCKHOLM - Sebuah syarikat permotoran Sweden mengumumkan rekaan seluar jeans beg udara pertama di dunia yang menawarkan pelindungan impak pada bahagian bawah badan penunggang motosikal ketika berlaku kemalangan jalan raya, lapor Oddity Central.

Sebenarnya aksesori beg udara yang melindungi penunggang motosikal ditimpa kemalangan bukanlah perkara baharu.

Namun syarikat dikenali Mo'cycle dari Sweden mendakwa mereka berjaya mencipta seluar jeans pertama di dunia mempunyai beg udara keselamatan penunggang motosikal.

Bahan diperbuat daripada Armalith, fabrik istimewa yang kelihatan seperti kain denim, tetapi kalis air dan calar serta didatangkan dengan beg udara didalamnya yang dapat melindungi bahagian bawah penunggang motosikal.

Mo'cycle berkata ia adalah revolusi menggunakan beg udara bagi melindungi tulang belakang penunggang untuk mengelakkan mereka lumpuh jika terbabit kemalangan selain disertakan ciri-ciri pelindungan untuk paha dan pinggul.

Tambahnya, ciri-ciri terpenting beg udara keluaran Mo'cycle adalah ia boleh digunakan semula apabila penunggang menggantikan tabung gas yang disertakan dalam seluar tersebut.

Cara penggunaannya pula, penunggang mesti meyambungkan tali beg udara pada badan motosikal dan apabila mereka terjatuh, picu tersebut automatik mengaktifkannya serta merta. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!