Perak FC kecundang 1-4 di tangan KDA FC

Perak FC tewas di gelanggang sendiri dengan KDA FC di Stadium Perak di Ipoh pada Sabtu.
Perak FC tewas di gelanggang sendiri dengan KDA FC di Stadium Perak di Ipoh pada Sabtu.
A
A
A

PERAK FC terpaksa akur dengan kekalahan 1-4 di tangan Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam aksi pertama Liga Super Malaysia di Stadium Perak di Ipoh pada Sabtu selepas terpaksa bermain dengan sembilan pemain akibat layangan kad merah.

Kehilangan Ahmad Haziq Ahmad Puad dan Sunday Afolabi pada minit ke-32 dan dan 78 memaksa tuan rumah bertahan bagi mengelak dibolosi lebih banyak jaringan di hadapan lebih 15,000 penyokong.

Dibarisi ramai pemain muda dalam kesebelasan utama tidak menghalang Perak FC untuk memberi saingan kepada pasukan lawan yang dibarisi bintang kebangsaan.

Pasukan tuan rumah bermula baik apabila berjaya memperoleh jaringan awal menerusi pemain tengah Mohamad Ikwan Hafizo pada minit ke-3 hasil umpanan Hadi Fayyadh.

Ketinggalan 0-1, KDA FC kemudian mengatur gerak memberi tekanan kepada pertahanan Perak FC namun beberapa percubaan gagal menembusi kubu lawan.

Pada minit minit ke-17, akhirnya KDA FC berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan penyerang kebangsaan, Lee Tuck menewaskan penjaga gol Perak FC, Tian Keat See.

Penyerang naturalisasi itu kemudiannya mendapat peluang menambah gol pada minit ke-23 namun rembatannya sedikit tersasar ke kiri gawang Perak.

Dua minit berselang, Perak FC pula memperoleh peluang menerusi import baharu mereka, Seo Seonung tetapi tendangannya melambung melepasi gawang gol.

Ketika permainan memasuki minit ke-26, Perak FC membuat pertukaran awal dengan memasukkan pemain tengah, Fahmi Daniel Muhd Zaim menggantikan Fadhil Idris.

Perak FC terpaksa bermain 10 orang apabila pertahanannya, Ahmad Haziq Ahmad Puad dilayangkan kad merah oleh pengadil, Zulkarnain Zakaria pada minit ke-32 selepas menerima kad kuning kedua.

Peluang itu dimanfaatkan pasukan pelawat yang melakukan serangan bertali arus ke kubu tuan rumah namun kecekapan penjaga gol menafikan percubaan beberapa pemain KDAFC.

Tamat separuh masa pertama perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi jaringan 1-1.

Bersambung babak kedua, Perak FC membuat satu lagi pertukaran menerusi pemain pertahanan Sunil Caven Chandran yang menggantikan penyerang, Amirul Husaini Zamri.

Anak buah Datuk Lim Teong Kim memperoleh beberapa percubaan ke gawang lawan antaranya termasuklah daripada penyerang import dari Korea Selatan, Seonung pada minit ke-58.

Berselang seminit, pemain KDA FC, Akmal Md Zahir dilayangkan kad kuning pada minit ke-59 selepas mengasari Seonung.

Penyerang Perak FC, Hadi Fayyadh memperoleh peluang untuk tuan rumah berada di hadapan namun ketangkasan penjaga gol lawan, Kalamullah Al-Hafiz berjaya menafikan rembatan tersebut.

Tidak lama selepas itu, pemain tengah Perak FC, Sunday Afolabi pula dilayangkan kad kuning selepas mengasari Lee Tuck.

Pelawat kemudiannya mendapat penalti selepas kapten mereka, Manuel Gelito dikasari dan Willian Lira Sousa tidak mensia-siakan peluang menjaringkan gol sekaligus KDA FC mendahului 2-1.

Perak FC kehilangan seorang lagi pemain apabila Sunday Afolabi dilayangkan kad merah selepas memungut dua kad kuning pada minit ke-78 kerana mengasari Manuel Hidalgo.

Kelebihan itu kemudiannya diambil oleh pasukan KDA FC dengan mengatur serangan demi serangan ke kubu tuan rumah dan hasilnya pada minit ke-84, Muhammad Ariff Farhan menambah derita Perak FC dengan jaringan ketiga.

Tidak cukup dengan itu, pemain gantian KDA FC, Jonathan Boareto menambah derita Perak FC selepas menjaringkan gol keempat pada masa tambahan.

Tamat perlawanan menyaksikan KDA FC memungut tiga mata pertama mereka pada perlawanan di tempat lawan menewaskan Perak FC.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!