Etak laris musim cuti sekolah

Norazila menunjukkan etak daripada sungai tempatan yang warnanya lebih cerah berbanding etak import.
Norazila menunjukkan etak daripada sungai tempatan yang warnanya lebih cerah berbanding etak import.
A
A
A

PASIR MAS - Musim cuti persekolahan memberi rezeki yang lebih banyak kepada peniaga apabila etak salai yang dijual laris dua kali ganda daripada biasa.

Penjual etak, Norazila Mohd Nor, 39, berkata, kebiasaan etak salai berperisa seperti tomyam, manis, pedas dan masin yang jual olehnya laku sekitar 10 kilogram (kg) sehari.

“Jualan etak pada masa kini semakin perlahan. Hendak dihabiskan sebanyak 10 kg pun susah dan perlu menunggu pelanggan sampai ke lewat petang.

“Tetapi, apabila musim cuti sekolah dan perayaan, ramai perantau pulang membeli etak dan hasil jualan meningkat mencecah 20 kg pantas licin dalam sehari,” katanya ketika ditemui di gerai etak di Kampung Kasar di sini pada Sabtu.

Norazila menjual etak di gerai di Kasar, Pasir Mas.
Norazila menjual etak di gerai di Kasar, Pasir Mas.

Menurut ibu kepada seorang cahaya mata itu, masih ramai juga pelanggan yang menggemari etak yang diperoleh daripada sungai tempatan di Kelantan.

“Etak sekarang banyak yang diimport dari negeri-negeri lain seperti Perak atau negara jiran tetapi rasanya sama sahaja.

“Cuma etak daripada sungai kita, kulitnya lebih nipis dan isinya lebih padat serta lebih digemari oleh golongan berusia kerana mudah untuk dikopek,” katanya.

Sementara itu, seorang pencari etak, Mohamad Nor Ibrahim, 66, berkata, sungai Kelantan di Kasar dahulunya mempunyai populasi etak yang banyak namun semakin hari semakin berkurangan hingga hampir tiada etak.

Pelanggan cilik membeli etak yang dijual oleh Norazila (kanan).
Pelanggan cilik membeli etak yang dijual oleh Norazila (kanan).

“Saya mencari etak sejak turun temurun daripada keluarga. Dulu mudah mendapatkan etak di sungai di Kasar ini tetapi kini sungai semakin dalam dan etak pun sudah tiada.

“Kadang-kala saya lepas ‘gian’ turun ke Sungai Terengganu di Manir untuk mencari etak tempatan yang kulitnya lebih nipis dan berwarna cerah berbanding etak yang diimport,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!