Gempa bumi Turkiye: 'Ibu dan ayah ada di syurga'

Judi Da'dush (kanan) bersama adiknya Shima menjadi anak yatim piatu dalam sekelip mata selepas ibu serta ayah mereka terkorban dalam tragedi gempa bumi yang melanda Turkiye pada 6 Februari lalu.
Judi Da'dush (kanan) bersama adiknya Shima menjadi anak yatim piatu dalam sekelip mata selepas ibu serta ayah mereka terkorban dalam tragedi gempa bumi yang melanda Turkiye pada 6 Februari lalu.
A
A
A

YAYLADAGI, TURKIYE - "Ibu dan ayah ada di syurga."

Hanya itu jawapan yang diberikan dua beradik perempuan, Judi Da'dush, 4 dan Shima, 2, tatkala ketua misi kemanusiaan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki bertanya di mana ibu dan ayah kanak-kanak itu berada.

Rupa-rupanya, bapa saudara mereka, Mohammad Qashid, 39, memaklumkan, Judi dan Shima kini menjadi yatim piatu selepas ibu bapa mereka terkorban selepas rumah kediaman mereka di Antakya runtuh dalam kejadian gempa bumi yang menggegarkan negara ini pada 6 Februari lalu.

Ketika ditemui, Judi dan Shima tidak lokek dengan senyuman, malah dua beradik itu sentiasa berpegangan tangan, seolah-olah mereka berdua tidak mahu dipisahkan.

Mohammad memberitahu, sehari sebelum gempa bumi berukuran 7.8 skala Richter itu berlaku, ibu dan ayah kanak-kanak itu menghantar mereka di rumah datuknya.

Judi Da'dush (kanan) bersama adiknya Shima.
Judi Da'dush (kanan) bersama adiknya Shima.

"Mereka sengaja menghantar Judi dan Shima ke rumah datuk pada 5 Februari. Dan ini menjadi asbab mereka terselamat.

"Kalau mereka berada di rumah sendiri, saya percaya mereka juga akan terkorban memandangkan bangunan rumah mereka setinggi tujuh tingkat telah musnah," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Gempa bumi yang berpusat di Kahramanmaras itu telah menjejaskan 10 wilayah iaitu Hatay, Gaziantep, Adiyaman, Malatya, Adana, Diyarbakir, Kilis, Osmaniye, Sanliurfa dan Elazig.

Angka kematian akibat gempa bumi yang melanda selatan Turkiye kini meningkat kepada 44,218 nyawa dan jumlah itu akan bertambah memandangkan usaha mencari mangsa di dalam runtuhan masih diteruskan.

Zon gempa dianggarkan mempunyai populasi 13.5 juta orang dan ramai daripada mereka hilang tempat tinggal.

Gegaran itu menyebabkan 26,000 kediaman runtuh pada satu jam pertama dan malapetaka itu melanda kawasan seluas 110,000 kilometer persegi (42,471 batu persegi).

Mohammad berkata, minggu pertama selepas kejadian itu, Judi dan Shima seringkali bertanyakan keberadaan ibu serta ayah mereka.

Judi Da'dush dan adiknya Shima sentiasa berpegangan tangan ketika ditemui di rumah saudara mereka di Yayladagi, Turkiye.
Judi Da'dush dan adiknya Shima sentiasa berpegangan tangan ketika ditemui di rumah saudara mereka di Yayladagi, Turkiye.

"Biasanya ibu dan ayah mereka akan membuat panggilan video, jika dua beradik itu berada di rumah datuk. Sehingga ke hari ini mereka ternanti-nanti kehadiran ibu dan ayah.

"Pada awalnya, kami memberi jawapan ibu dan ayah mereka pergi membantu orang susah tetapi kini kami telah menceritakan perkara sebenar. Ibu dan ayah berada di syurga.

"Mungkin mereka kecil lagi dan tidak memahami erti sebenar kehilangan tetapi kami yang melihat Judi dan Shima, cukup memeritkan," katanya.

Sementara itu, sepupu dua kanak-kanak berkenaan, Nasaruddin Da'dush, 17, berkata, mereka kehilangan ayah dalam kejadian gempa bumi berkenaan.

"Pada awalnya ayah selamat selepas membantu kami semua keluar dari rumah tetapi ketika ayah cuba masuk ke bangunan untuk membantu mangsa lain, bangunan bersebelahan runtuh dan terus menghempap ayah," katanya.

Sinar Harian bersama Syria Care dan Task Emergency Medical Service (TEMS) ketika ini berada di Turkiye dalam misi menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi termasuk di Syria.

Orang ramai boleh mengambil bahagian dalam misi ini dengan menyalurkan derma kepada Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care.

Mereka yang ingin menyumbang, boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf Sdn Bhd, 564276-529068.

Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!