Tetap puji pemain Perak FC walaupun tewas

TEONG KIM
TEONG KIM
A
A
A

DI sebalik kekalahan 1-4 di tangan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada perlawanan pertama Liga Super Malaysia pada Sabtu, ketua jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim tetapi memuji anak buahnya.

Menurutnya, biarpun bukan keputusan yang diharapkan namun pemain tetap menunjukkan persembahan yang baik.

Beliau berkata, anak buahnya tidak mudah mengalah bermain dengan pasukan yang berpengalaman serta memiliki ramai pemain import.

"Mereka bermain bersungguh-sungguh namun kita akui agak sukar dengan kekurangan dua pemain. Saya puas hati dengan pemain-pemain saya walaupun tewas 4-1.

"Walaupun kekurangan pemain mereka tetap menunjukkan semangat melawan," katanya kepada pemberita selepas perlawanan Liga Super Malaysia di Stadium Perak di Ipoh pada Sabtu.

Dalam pada itu, Teong Kim akan membuat analisis perlawanan dan berbincang dengan pemain untuk memperbaiki kelemahan menjelang aksi kedua nanti.

Beliau mengakui pemainnya perlu lebih bertenang di padang di sebalik layangan dua kad merah.

Mengenai pengganti Ahmad Haziq Ahmad Puad dan Sunday Afolabi pada perlawanan kedua bertemu PDRM FC nanti, Teong Kim yakin mempunyai pilihan pemain.

Sementara itu, pengendali KDA FC, Nafuzi Zain nyata gembira dengan prestasi anak buahnya.

Jelas beliau, walaupun bermain bukan dalam tahap sebenar, kemenangan tersebut merupakan suntikan semangat dalam mengharungi perlawanan seterusnya.

Dalam perlawanan pertama menentang Perak FC di Stadium Perak di Ipoh, KDA FC berjaya menjinakkan tuan rumah 4-1 di hadapan lebih 15,000 penyokong.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!