Ronaldo ledak hatrik kedua

Ronaldo semakin selesa beraksi bersama Al Nassr.
Ronaldo semakin selesa beraksi bersama Al Nassr.
A
A
A

CRISTIANO Ronaldo terus mencipta sensasi di Liga Pro Saudi apabila meledak hatrik keduanya dalam tiga perlawanan membolehkan Al Nassr menang 3-0 ke atas Damac pada Sabtu.

Bekas penyerang Real Madrid dan Manchester United itu mendapat treble pada separuh masa pertama sekali gus meneruskan momentum cemerlang susulan jaringan empat golnya dua minggu lalu ketika menentang Al Wehda.

Ronaldo menjaringkan gol pertama menentang Damac menerusi penalti pada minit ke-18, selepas bola terkena tangan Farouk Chafai, sementara gol kedua terhasil menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti lima minit kemudian.

Gol ketiga Ronaldo pula terhasil pada minit ke-44 selepas menyudahkan hantaran rakan sepasukan, Ayman Yahya.

Ayman mungkin boleh merembat terus untuk mencipta gol tetapi memilih untuk menghantar bola kepada Ronaldo yang tenang menyudahkan peluang tersebut.

Ronaldo menjaringkan 44 hatrik dalam karier legendanya Real Madrid sekali gus menjadi penjaring terbanyak gergasi Sepanyol itu.

Dia juga menjaringkan tiga gol dalam dua musim bersama United dan menambah tiga hatrik semasa berkhidmat selama tiga tahun di Juventus.