Liverpool, Crystal Palace terikat tanpa jaringan
USAHA Liverpool untuk mengakhiri saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di kedudukan empat teratas mendapat satu lagi tamparan apabila hanya mampu seri 0-0 dengan Crystal Palace pada Ahad.
The Reds bertandang ke Selhurst Park dengan misi untuk melakar kebangkitan selepas dimalukan 2-5 di tempat sendiri kepada Real Madrid dalam aksi Liga Juara-Juara baru-baru ini.
Satu mata yang diperoleh anak buah Jurgen Klopp itu meletakkan mereka di tangga ketujuh liga, tetapi mereka masih ketinggalan enam mata di belakang Tottenham Hotspur di tangga keempat.
Crystal Palace pula kekal tanpa kemenangan dalam sembilan perlawanan, tetapi keputusan seri membawa Eagles enam mata mengatasi zon penyingkiran.
Klopp menyifatkan ada sesuatu yang tidak kena dengan persembahan Liverpool dalam perlawanan tersebut dan perlu mencari jalan untuk memperbaikinya.
"Saya menyukai permulaan permainan. Dinamik para pemai dan hantaran sangat bagus. Cuma, kami tidak cukup menyerang mereka.
"Saya rasa kami ada tiga atau empat peluang. Biasanya, kami menjaringkan satu atau dua peluang yang kami ada. Kami tidak melakukannya malam ini.
"Saya rasa kami membunuh suasana dengan cara kami bermain. Apabila bola sepak boleh diramal, ia bermakna lebih mudah untuk bertahan.
"Tetapi kami mendapat mata di tempat lawan dan tidak menjadi masalah. Sudah tentu ia persembahan tidak cemerlang, tetapi tidak mengapa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!