Saiz penduduk faktor pembangunan Sabah, Sarawak ketinggalan
KUALA LUMPUR - Isu pembangunan terutama kemudahan asas di Sabah dan Sarawak perlu dilihat kepada saiz negeri tersebut dan bukan hanya kepada kepadatan penduduk di sesuatu kawasan dan negeri.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, saiz Sabah dan Sarawak yang besar namun dengan kepadatan jumlah penduduk yang rendah berbanding Semenanjung menjadi antara faktor pembangunan di kedua-dua negeri itu agak ketinggalan berbanding negeri lain kerana keutamaan peruntukan kerajaan biasanya diberikan berdasarkan kadar kependudukan di sesebuah negeri.
"Pendekatan kerajaan berbeza, biasanya pembangunan memfokuskan kepada ramainya penduduk, sebab itu sejak dahulu apabila perancangan dibuat, Sabah dan Sarawak sering kali tertinggal sebab penduduknya sikit,” kata beliau dalam temu bual khas dengan Bernama baru-baru ini.
Memberi contoh Kuala Lumpur, Fadillah berkata ibu negara itu jauh lebih maju berbanding kawasan-kawasan dan negeri-negeri lain termasuk di Semenanjung sendiri, berikutan jumlah penduduknya lebih ramai.
"Kita tengok Kuala Lumpur semua ada... pergi ke negeri lain (yang penduduknya kurang)... Kelantan, Perlis, juga jauh ketinggalan (berbanding Kuala Lumpur),” katanya.
Namun, beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata situasi itu tidak bermakna negeri dan kawasan lain dianaktirikan, cuma pendekatan perancangan ekonomi dan kaedah berbeza digunakan dalam pembangunan sesebuah negeri."Sebab itu di Sabah dan Sarawak kita memperjuangkan kita kena melihat pembangunan ini bukan sahaja dalam konteks kepadatan, kita kena melihat saiz dan keperluan sebab itu kemudahan asas mesti diberi keutamaan.
"Kita kena tengok di mana jurangnya, mana yang jauh ketinggalan patut dipercepat,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata, Sarawak, misalnya, dengan kebanyakan tanahnya merupakan jenis paya gambut, sering berhadapan isu kos tinggi bagi pembinaan jalan raya dengan penambahan 20 peratus berbanding kos di Semenanjung disebabkan bahan-bahan yang perlu dibawa dari Semenanjung.
Sehubungan itu Fadillah berkata langkah kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim agar projek di bawah kos RM50 juta di Sabah dan Sarawak diputuskan hampir sepenuhnya oleh kerajaan negeri dilihat akan memudahcara dan mempercepat pelaksanaan sesuatu projek.
"Diharap dengan keputusan ini kita dapat rapatkan jurang pembangunan infrastruktur supaya perasaan orang Sabah dan Sarawak yang rasa dianaktirikan dapat kita selesaikan... barulah mereka berasa mereka sebahagian daripada Malaysia,” katanya.Fadillah berpendapat sejak kebelakangan ini, tumpuan untuk Sabah dan Sarawak sebenarnya semakin bertambah melalui pelbagai peruntukan besar bagi menjayakan banyak projek seperti Lebuhraya Pan Borneo.
Beliau berkata, ia kemudian diteruskan dengan kepimpinan sedia ada di bawah Anwar, yang kini turut giat memperjuangkan penyelesaian Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Berhubung status Sarawak dan Sabah sebagai wilayah dalam Malaysia, Fadillah berpendapat ia lebih kepada terminologi dan adalah memadai dengan MA63 diiktiraf dan menjadi sebahagian daripada Perlembagaan.
"Maknanya orang sudah kenal bahawa penubuhan Malaysia sekarang adalah oleh tiga wilayah iaitu Semenanjung (Malaya pada waktu itu), Sabah dan Sarawak. Itu sudah memadai. Kalau diiktiraf sebagai wilayah pun kalau dari segi kuasanya tidak ada, dari segi pengisian pada MA63 tak terlaksana, tak juga penting. Pada saya lebih utama memfokuskan pembentukan pengiktirafan pada MA63,” katanya.
Seorang lagi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini berkata kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia bukan lagi berstatus negeri sebaliknya wilayah, bagaimanapun beliau tidak menyatakan sejak bila status berkenaan berkuat kuasa. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!