PRN: Agihan kerusi parti kerajaan diumum hujung Mac

Fahmi Fadzil. - Foto Bernama.
Fahmi Fadzil. - Foto Bernama.
A
A
A

PETALING JAYA - Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia dijangka mengumumkan hasil rundingan pembahagian kerusi antara parti dalam gabungan itu bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN), sebelum hujung Mac ini.

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Fahmi Fadzil berkata, ia mungkin diumumkan lebih awal kerana rundingan secara tidak rasmi mengenai pembahagian kerusi di enam negeri yang bakal mengadakan PRN, iaitu Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan, sudah berlangsung agak lama.

"Proses (rundingan) itu sedang berjalan dan saya rasa ia akan dimuktamadkan (secara rasmi) melalui Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia yang terbentuk beberapa bulan lepas.

"Namun, tidak semestinya semua negeri diumumkan secara serentak, mungkin ada sesetengah negeri akan diumum terlebih dahulu," kata Menteri Komunikasi dan Digital itu kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pemantapan Penerangan PKR Selangor, di sini pada Ahad.

Pada 22 Februari lepas, menteri besar dan ketua menteri dari enam negeri tersebut mencapai kata sepakat untuk mempertimbangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dalam dua minggu terakhir Jun bagi memberi laluan kepada PRN.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dilapor berkata, kesepakatan itu dicapai ketika sesi minum petang di Kuala Lumpur sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-261 baru-baru ini. - Bernama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!