Kepimpinan Anwar dapat keyakinan rakyat

Salahuddin (tengah) menyerahkan sumbangan kepada penerima selepas merasmikan Program Usahawan Muda 2023 Peringkat Negeri Johor di Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, pada Ahad.
Salahuddin (tengah) menyerahkan sumbangan kepada penerima selepas merasmikan Program Usahawan Muda 2023 Peringkat Negeri Johor di Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, pada Ahad.
A
A
A

PASIR GUDANG - [DIKEMAS KINI] Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sudah pun melepasi penarafan rakyat sebagai Perdana Menteri, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata, perkembangan berkenaan jelas menunjukkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Anwar dalam menerajui Kerajaan Perpaduan dan negara.

"Itu kajian (berkenaan 100 hari prestasi Kerajaan Perpaduan) yang dibuat Astro Awani dan beberapa media serta agensi lain, saya tidak teliti lagi data itu... tetapi yang penting bagi saya penarafan Anwar sebagai Perdana Menteri telah melepasi 'confident' rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Usahawan Muda 2023 (PUM 20W3) Peringkat Negeri Johor di Politeknik Ibrahim Sultan di sini pada Ahad.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pendayaupayaan Pengguna) KPDN, Datin Roszanina Wahab; Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz; Timbalan Ketua Pengarah Governan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kamaludin Daud; Pengarah Politeknik Ibrahim Sultan Johor Bahru, Ts Noor Aidi Nadzri serta Ketua Eksekutif Waqaf an-Nur, Bukhairi Abd Rahman.

Kaji selidik 100 Hari Pentadbiran Kerajaan Perpaduan mendapati rakyat negara ini memberi restu kepada pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

Kaji selidik oleh lima media arus perdana dengan kerjasama firma penyelidikan, O2 Research melibatkan 35,077 responden pelbagai kaum itu mendapati sentimen rakyat terhadap situasi ekonomi negara agak seimbang dan hala tuju Malaysia pada arah yang betul.

Namun begitu, skor Kad Laporan 100 hari Kerajaan Perpaduan itu sedikit tercalar berkenaan kepuasan hati rakyat daripada segi usaha dan keyakinan kerajaan dalam menunaikan manifesto.

Skor rendah tersebut disumbangkan oleh sentimen yang sangat rendah daripada kalangan Melayu Semenanjung.

Terdahulu ketika berucap, beliau berkata, sekarang bukan masa Kerajaan Perpaduan untuk 'berbulan madu' atau bermimpi indah selepas memegang tampuk pemerintahan.

"Ini termasuk berangan-angan membina kekayaan dan kekuatan keluarga atau peribadi. Kerajaan Madani dan rakyat mesti bersama-sama membina negara," katanya yang mendapat tepukan gemuruh hadirin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!