Beli 18 jet tempur dari Korea Selatan ambil kira pelbagai faktor
ALOR GAJAH - Pembelian 18 pesawat tempur ringan FA-50 bernilai RM4.08 bilion dari Korea Selatan telah mengambil kira pelbagai faktor termasuk khususnya keperluan negara melibatkan aspek strategi, dasar dan Kertas Putih Pertahanan (KPP) negara.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, selain itu, aspek kepakaran dalam mengendalikan pesawat berkenaan dan ekonomi semasa negara turut menjadi pertimbangan supaya pembelian aset itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi industri pertahanan negara.
"Banyak faktor diambil kira sebelum kita buat keputusan pembelian sesuatu aset itu. Jadi, apabila kita telah buat keputusan melalui perolehan yang telus itu, paling utama adalah kita dapat 'delivered' kepada pengguna akhir.
"Yang paling penting aspek pertahanan negara dapat dijaga, kedaulatannya boleh dipertahankan dan pada masa sama keyakinan aset-aset ini dapat kita miliki dalam tempoh ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Alor Gajah di sini pada Ahad.
Beliau berkata, berdasarkan penilaian Kementerian Pertahanan sebelum keputusan pembelian aset itu dibuat, pesawat tempur ringan FA-50 keluaran Korea Aerospace Industries Co (KAI) berkenaan adalah yang terbaik.
Pada Jumaat, Bernama melaporkan KAI yang merupakan pengeluar tunggal pesawat Korea Selatan memenangi perjanjian pesawat bernilai AS$920 juta (RM4.08 bilion) dari Malaysia dan proses penghantaran pesawat berkenaan dijangka bermula pada 2026.Memetik kenyataan Agensi berita Yonhap, KAI memeterai perjanjian dengan Kementerian Pertahanan Malaysia untuk mengeksport 18 pesawat tempur ringan FA-50, sekali gus mengetepikan pesawat jenis Tejas India, JF-17 Pakistan, MIG-35 Russia dan Hurizet Turki.
Dalam perkembangan lain, Adly berkata, Kementerian Pertahanan akan memastikan kebajikan keluarga khususnya ibu dan bapa kepada anggota Tentera Darat daripada Grup Gerak Khas (GGK) Lans Koperal Edrin Baintim yang lemas ketika menjalani latihan, sentiasa terpelihara.
"Menteri Pertahanan sebelum ini telah mengarahkan bahagian pentadbiran agar melihat semua aspek bantuan diperlukan atau hak yang layak diterima keluarga mangsa dipercepat.
"Mangsa (Edrin) telah berkorban untuk negara dan sudah pasti akan memastikan kebajikan keluarga menjadi keutamaan kita," katanya.
Pada 7 Februari lepas, Edrin dilaporkan hilang ketika menjalani latihan menyelam di 0.7 batu nautika barat daya Pulau Undan di sini ketika menjalani latihan eksesais 'Pari Harimau' iaitu kursus juruselam bersama enam pegawai dan 37 peserta dari Pusat Latihan Peperangan Khusus (Pulpak) Sungai Udang.
Mayatnya ditemukan orang ramai dalam keadaan terdampar dan lengkap berpakaian sut penyelam di pantai bakau Tanjung Sepat, Selangor kira-kira 10.15 pagi pada 19 Februari lepas.- Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!