Konvoi bot laju berpotensi jadi produk pelancongan

Mohamad Nizar bersama sebahagian peserta konvoi bot laju selepas acara itu berakhir di Jeti Pekan Riverfront pada Ahad.
Mohamad Nizar bersama sebahagian peserta konvoi bot laju selepas acara itu berakhir di Jeti Pekan Riverfront pada Ahad.
A
A
A

PEKAN - Konvoi bot laju berpotensi untuk dikembangkan menjadi salah satu produk pelancongan sekali gus menarik pelancong berkunjung ke Pahang.

Pengerusi Team Formula Future Power Bot Temerloh, Mohammad Khalil Abdul Wahab, 38, berkata, acara itu wajar dianjurkan setiap tahun dalam usaha menarik pengunjung dari dalam dan luar untuk menyertainya.

"Kalau ikutkan ramai dalam kalangan kita mempunyai bot sendiri, termasuk bot nelayan sungai yang boleh digunakan untuk aktiviti bot laju ini. Bila ada aktiviti sebegini, golongan belia dan badan bukan kerajaan dapat disatukan untuk menjayakan aktiviti ini.

"Jadi, kita harap aktiviti ini (konvoi bot laju) dapat dibawa masuk dalam kalendar melawat Pahang. Bila ia dijadikan acara tahunan, secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi potensi Pahang sebagai hub untuk pelancong," katanya ketika ditemui di Jeti Pekan Riverfront, di sini pada Ahad.

Sebanyak 250 bot menyertai program Konvoi bot laju dan daripada jumlah itu, 216 bot datang dari Temerloh, Maran, Jerantut dan Bera manakala 34 lagi dari Pekan.

Program konvoi bermula dari Temerloh dan berakhir di Jeti Riverfront Pekan.

Majlis itu disempurnakan Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib.

Konvoi bot laju berpotensi dijadikan produk pelancongan di Pahang. - Gambar kecil: Mohammad Khalil (kiri), Abdul Wahab
Konvoi bot laju berpotensi dijadikan produk pelancongan di Pahang. - Gambar kecil: Mohammad Khalil (kiri), Abdul Wahab

Sementara itu, Mohamad Nizar dalam ucapannya berkata, program julung kali diadakan itu wajar dijadikan sebagai salah satu aktiviti yang perlu dimasukkan di dalam kalendar pelancongan negeri ini.

"Konvoi yang diadakan ini membuka peluang kepada peniaga-peniaga di sekitar lokasi program menjana pendapatan dengan lebih baik di samping memperkenalkan lokasi persinggahan konvoi terbabit," katanya.

Dalam pada itu, warga emas, Abdul Wahab Mohd Tahar, 66, turut bersetuju acara berkenaan dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan melawat Pahang kerana dapat menarik golongan muda terlibat dalam aktiviti itu, sekali gus turut memberi impak positif kepada pengusaha bot di negeri ini.

"Acara seperti ini berpotensi untuk dimajukan, sekali gus dapat meningkatkan sektor pelancongan negeri.

"Negeri-negeri lain seperti Kelantan; Terengganu, Johor Bahru, Selangor, Perak dan Kedah boleh turut serta dan menjadi salah satu acara tahunan," katanya.

Kata pesara guru itu, walaupun sudah lebih 20 tahun terlibat dengan aktiviti bot laju, ini kali pertama dia menyertai program konvoi bot laju sejauh 248 kilometer (km) meredah Sungai Pahang bermula dari Temerloh menuju ke Chenor, Maran, Penjing, Paloh Hinai, Temai Hulu dan berakhir di Jeti Riverfront Pekan.

"Antara perkara yang tidak dapat dilupakan apabila terpaksa berhadapan ombak besar ketika tiba di Paloh Hinai.

"Saya perlu berhati-hati mengawal bot dengan baik dan alhamdulillah tiada perkara tidak diingini berlaku sepanjang konvoi ini,” kata bapa kepada tujuh anak itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!