4 terbunuh, 20 cedera dalam letupan bom di Pakistan
KARACHI (Pakistan) - Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan lebih 20 cedera dalam satu letupan bom di Pakistan pada Ahad, lapor Agensi Anadolu memetik polis dan media tempatan.
Letupan berlaku di pasar yang sibuk di daerah terpencil Barkhan di wilayah Balochistan.
Menurut polis, bom itu dimuatkan dalam sebuah motosikal yang diletakkan di luar sebuah salun di pasar dan mereka yang cedera kini dalam keadaan kritikal.
Tiada pihak mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu setakat ini namun pemisah etnik Baloch dan Tehreek-e-Taliban Pakistan, sebuah konglomerat beberapa kumpulan militan di Pakistan telah lama menyasarkan pasukan keselamatan di seluruh wilayah itu
Wilayah Balochistan yang terletak berhampiran negara jiran, Iran dan Afghanistan merupakan kawasan yang penting dan strategik kerana kaya dengan rizab tembaga, zink dan gas.
Selain itu, wilayah Balochistan juga menjadi laluan utama projek mega Koridor Ekonomi Pakistan-China (PCEC) bernilai AS$64 bilion yang menghubungkan wilayah barat laut Xinxiang ke pelabuhan Gwadar di Balochistan melalui rangkaian jalan raya, kereta api dan saluran paip untuk kargo, pengangkutan minyak dan gas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!