'Jangan biasakan diri harap imbuhan, wang' - Fahmi Fadzil

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
A
A
A

PETALING JAYA - Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil mengingatkan ahli parti agar tidak merosakkan parti dengan berjuang untuk mendapat balasan seperti jawatan dan wang.

Menerusi Konvensyen Pemantapan Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Fahmi mendedahkan sudah terdengar ada dalam kalangan ahli yang mengharapkan imbuhan untuk sesuatu kerja yang dilakukan.

Beliau berkata, kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukan disebabkan pengaruh calon sebaliknya hasil kekuatan jentera dan sokongan rakyat yang percaya dengan perjuangan parti itu.

"Kita tidak berjuang untuk jawatan atau harta perang. Saya dengar ada bibit-bibit yang sebenarnya merosakkan perjuangan kita.

"Apa dia? Ada elaun tak nak datang mesyuarat? Jangan ada perkara seperti itu. Itu bukan DNA kita, tiada dalam sejarah perjuangan kita.

"Bab ini saya sangat marah, jangan jadikan perkara itu satu kebiasaan dalam parti.

"Kita perlu ingat, PKR lahir atas jalan raya dan berdepan dengan FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan). Kita berjuang untuk nasib rakyat dan bukan untuk poket (sendiri) atau untuk projek," katanya pada konvensyen yang berlangsung di Hotel TH Kelana Jaya pada Ahad.

Turut hadir, Ketua Penerangan PKR Selangor, Halimey Abu Bakar.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital berkata, pihaknya tidak pernah meminta mahupun melobi untuk menjadi menteri.

"Saya cuma tahu menjadi menteri lima minit sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim umum dalam TV.

"Sebelum itu ada kawan-kawan hubungi beritahu saya jadi menteri. Saya jawab tidak tahu dan tidak minat untuk tahu. Saya tidak ada cakap dengan PM (soal jawatan)," jelasnya.

Beliau berkata, menjadi tugas bersama untuk menyokong kepimpinan Perdana Menteri serta tidak memburukkan nama parti dengan terjebak ke lembah hina melalui sikap buruk untuk kepentingan peribadi.

"Kalau perlu, kita panggil SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) siasat. Saya beritahu kakitangan pejabat saya, kalau dapat tahu sudah ada yang mula pakai jam berjenama, siaplah.

"Perkara ini penting, kita kena ingat asas perjuangan dan idealisme. Perlu saling ingat mengingati, maka dari situ kita akan faham apa yang diperjuangkan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!