Kerajaan perlu masa bukti kemampuan - Sivakumar
IPOH - Kerajaan Perpaduan yang mentadbir negara ketika ini memerlukan lebih masa untuk membuktikan kemampuan dalam melaksanakan polisi-polisi dirancangkan.
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, segala yang dilakukan kerajaan ketika ini berada pada landasan yang betul tetapi tidak semua dapat dicapai dalam masa singkat.
Menurutnya, sebarang perubahan yang diinginkan rakyat memerlukan tempoh masa sesuai untuk dilaksanakan kerajaan.
"Kalau kita nak lihat satu perubahan yang mendadak, serta-merta itu bukanlah mudah untuk dilihat tetapi yang penting kerajaan harus diberi masa lebih panjang untuk membolehkan kerajaan melaksanakan semua polisi-polisi yang sedang dirancang dan akan dirancang.
"Saya memang faham bahawa harapan daripada rakyat terlalu tinggi tetapi pada masa sama kerajaan juga berada dalam landasan yang betul untuk melaksanakan semua polisi-polisi. Jadi saya rasa kita memerlukan lebih masa untuk membuktikan kemampuan kita," katanya kepada pemberita ketika mengadakan Lawatan Kerja ke Pusat Pembangunan Modal Insan Perak (PHCDC) di Bandar Meru Raya di sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai 100 hari pentadbiran kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggabungkan Pakatan Harapan (PH) bersama Barisan Nasional (BN) Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Sementara itu, Sivakumar berkata, kerajaan menerusi Kementerian Sumber Manusia komited untuk memperkasakan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini.
Beliau berkata, hala tuju kerajaan mengenai TVET ketika ini terarah untuk memastikan tidak berlaku ketidakpadanan terhadap lepasan institut latihan kemahiran yang tidak diterima oleh industri.
"Kita mahu pastikan bahawa anak-anak yang dilatih di bawah program TVET mempunyai nilai pasaran yang tinggi kerana sering kali dibangkitkan isu berlakunya ketidakpadanan. Graduan yang dihasilkan tidak diperlukan oleh industri dan ini akan merugikan sumber dari segi kewangan, masa dan tenaga.
"Kita mahu mengelak ketirisan dan kebocoran yang berlaku kerana kita membelanjakan wang begitu banyak tetapi sebahagian besar tidak mencapai sasaran atau matlamat. Tenaga mahir yang kita lahirkan itu seharusnya diterima oleh industri, itu adalah penting," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!