Darrshan harap pencapaian di ITF beri kelebihan ke Sukan SEA
PEMAIN tenis remaja S.Darrshan berharap pencapaiannya dalam kejohanan remaja Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) memberinya kelebihan dalam pemilihan ke Sukan SEA di Kemboja pada 5-17 Mei ini, sekali gus membuat penampilan sulungnya dalam temasya itu.
Atlet berusia 15 tahun itu berkata, beliau adalah antara pemain yang disenaraikan, namun hanya lima yang akan disenarai pendek.
Selepas mara ke final perseorangan lelaki pada Kejohanan Remaja Jelajah Tenis Dunia ITF Singapura J30 awal bulan ini, Darrshan melangkah ke dua final dalam J30 Selangor minggu ini iaitu memenangi acara beregu dan muncul naib johan perseorangan.
Darrshan kini berharap untuk mempamerkan persembahan cemerlang dalam siri pertama Sirkit Kebangsaan yang bermula 8 Mac ini, bagi mencerahkan peluangnya ke Sukan SEA.
"Saya rasa nama saya dimasukkan dalam senarai panjang itu selepas saya bermain dengan baik pada Terbuka KL pada Oktober dan mara ke separuh akhir.
"Keputusan hari ini pastinya membantu kerana proses pemilihan melibatkan berapa banyak kejohanan yang disertai dan pencapaian kami," katanya.
Katanya, beliau mahu melakukan yang terbaik dalam setiap kejohanan kerana mahu menyertai pasukan Sukan SEA untuk mendapatkan pendedahan.
"Saya teruja untuk berada pada peringkat mereka dan bertanding dengan pemain terbaik daripada setiap negara,” katanya kepada Bernama.
Darrshan, yang bergandingan dengan pemain Indonesia Aldhito Ramadhan Dwi Kurniawan, memenangi acara beregu selepas menewaskan Chen Xianfeng-Meng Fanming dari China 6-1, 6-0 dalam pusingan akhir di Gelanggang Tenis Kelana Jaya, semalam.
Pemain pilihan kelima kejohanan itu bagaimanapun tewas 3-6, 4-6 kepada Fanming dalam final perseorangan hari ini.
Darrshan yang mula bermain tenis sejak berusia tujuh tahun dijangka mengambil bahagian dalam Sarawak J300 bulan depan untuk melonjakkan rankingnya.
"Ibu saya Nirmala Krishna dan ibu saudara bermain pada peringkat kebangsaan, jadi saya sedang mencuba untuk memperbaiki keputusan supaya saya boleh menjadi yang terbaik dalam keluarga.
"Keluarga memberi saya sokongan yang kuat dan berkongsi banyak info tentang sukan ini,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!