Majikan tiada alasan abai Akta Kerja 1955

Sivakumar (kiri) ketika mengadakan Lawatan Kerja ke PHCDC di Bandar Meru Raya pada Ahad.
Sivakumar (kiri) ketika mengadakan Lawatan Kerja ke PHCDC di Bandar Meru Raya pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Majikan tidak sewajarnya memberikan alasan untuk ingkar melaksanakan pindaan Akta Kerja 1955 termasuk pengurangan masa kerja dari 48 jam kepada 45 jam seminggu.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar menegaskan perkara itu sudah pun diuar-uarkan sebelum ini menerusi media selepas sahaja pindaan tersebut diluluskan di Parlimen.

Menurutnya, tidak ada alasan untuk majikan mengabaikan peruntukan undang-undang tersebut memandangkan tempoh masa pelaksanaan sudah diberikan.

"Undang-undang telah ada. Perkara ini juga telah diumumkan, kenyataan media sudah dibuat, jadi saya tidak mahu ada apa-apa alasan daripada mana-mana majikan yang mengatakan bahawa mereka tak tahu tentang undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen kerana tempoh masa juga telah pun diberi.

"Kita tak buat serta-merta, kita telah beri tempoh masa untuk melaksanakan undang-undang ini dan baharu kita menguatkuasakan undang-undang tersebut. Saya pun telah buat kenyataan media beberapa kali tentang perkara ini, jadi saya rasa itu tidak seharusnya dijadikan alasan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan Lawatan Kerja ke Pusat Pembangunan Modal Insan Perak (PHCDC) di Bandar Meru Raya pada Ahad.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang menggesa Kementerian Sumber Manusia mengambil tindakan keras kepada majikan ingkar terhadap pelaksanaan Akta Kerja 1955.

Pada 23 Februari lalu, Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor mendedahkan terdapat laporan majikan tidak mempedulikan pindaan akta tersebut termasuk dalam soal pengurangan waktu bekerja dari 48 jam seminggu kepada 45 jam seminggu.

Menurutnya, terdapat syarikat yang memaklumkan kepada pekerja bahawa mereka tidak boleh mengurangkan waktu kerja kerana belum mendapat arahan bertulis daripada Jabatan Tenaga Kerja.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!