Sanusi mahu bertemu Anwar beri penerangan projek KXP

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah akan berusaha untuk membuat pembentangan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi merealisasikan projek berkenaan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini kerana beliau yakin Anwar belum mendapat gambaran penuh mengenai projek tersebut sehingga tidak mempertimbangkan rancangan projek itu dalam pembentangan Belanjawan 2023 pada Jumaat.

Menurutnya, setakat ini sudah dua kali surat permohonan untuk bertemu Perdana Menteri telah dihantar, namun masih belum mendapat sebarang maklum balas.

"Walau apa jua rintangan diharapkan agar satu titik temu akan dapat dicapai bagi merealisasikan usaha ini demi kepentingan dan manfaat negara khususnya rakyat Kedah," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Menurutnya, Kedah Aerotropolis yang turut merangkumi pembinaan KXP adalah projek berimpak tinggi yang akan dibangunkan melalui pelaburan syarikat swasta tempatan tanpa melibatkan peruntukan kerajaan Persekutuan.

Katanya, dalam kedudukan kewangan yang kurang memberangsangkan, kerajaan negeri Kedah memilih untuk melaksanakan projek berkenaan secara pelaburan swasta (PFI) sepenuhnya.

Muhammad Sanusi berkata, secara umum, projek berkenaan adalah katalis yang berpotensi tinggi untuk menarik kemasukan pelaburan asing melalui pembukaan kawasan perindustrian baharu berasaskan industri berteknologi tinggi aeroangkasa dan penerbangan.

"Ia akan direalisasikan menerusi pembukaan Sidam Logistic Aerospace Manufacturing Hub (SLAM) sebagai kawasan perindustrian yang memberi tumpuan kepada industri MRO (Maintenance, Repair & Overhaul) yang sangat diperlukan dalam sektor penerbangan," katanya.

Selain itu, ujarnya projek jajaran lebuh raya Northern Corridor Highway (NCH) yang akan menghubungkan Lebuhraya PLUS di daerah Bandar Baharu dengan KXP dan Sungai Petani juga akan dibangunkan.

"Rangkaian landasan keretapi baharu juga akan dibina menghubungkan KXP dengan Tasik Gelugor dan Sungai Petani," katanya.

Tegas Muhammad Sanusi, dalam konteks Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), KXP tidak akan jadi pesaing kepada lapangan terbang itu kerana KXP akan beroperasi sebagai hab kargo dan segmen penumpang belum dipertimbangkan dalam fasa ini.

" LTAPP boleh terus memberi fokus kepada perkhidmatan yang ditawarkan dan menerima bahawa projek KXP adalah untuk menjadi pelengkap, bukannya pesaing kepada lapangan terbang itu," katanya.

Pada Jumaat, Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat berkata, kerajaan Pusat tidak boleh mempertimbangkan pembinaan lapangan terbang baharu di Kulim.

Sebaliknya Anwar berkata, kerajaan bercadang untuk menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, berbanding membangunkan hab baharu.

Menurut Anwar, kerja naik taraf itu akan dilaksanakan pada kos jauh lebih rendah berbanding cadangan membina lapangan terbang baharu di Kulim yang dianggarkan berjumlah RM7 bilion.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!