Pencapaian 100 hari: Kerajaan perjuang kurangkan kos sara hidup

Ahmad (tengah) melihat pelan cadangan pembesaran Hospital Pontian pada Ahad.
Ahmad (tengah) melihat pelan cadangan pembesaran Hospital Pontian pada Ahad.
A
A
A

PONTIAN - Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus memperjuangkan usaha membantu rakyat kurangkan kos sara hidup dan menamatkan kemiskinan rakyat.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kos sara hidup dan kemiskinan merupakan perkara penting yang turut digariskan dalam manifesto pada pilihan raya umum lalu.

"Salah satu manifesto BN ialah mahu menamatkan kemiskinan. Perkara itu diungkapkan kembali Anwar dalam pembentengan Belanjawan 2023.

"Kita ingin menoktahkan kemiskinan di Malaysia sewal tahun ini. Selain itu parti-parti di dalam kerajaan Perpaduan juga meminta supaya kos sara hidup dapat dilaksanakan.



"Usaha sedang dilakukan di bawah Payung Rahmah merangkumi Sumbangan Tunai Rahmah, Menu Rahmah, Bakul Rahmah dan Jualan Rahmah dan pelbagai lagi dapat kurangkan kos sara hidup," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan di Hospital Pontian di sini pada Ahad.

Kaji selidik 100 Hari Pentadbiran Kerajaan Perpaduan mendapati rakyat negara ini memberi restu kepada pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

Kaji selidik oleh lima media arus perdana dengan kerjasama firma penyelidikan, O2 Research melibatkan 35,077 responden pelbagai kaum itu mendapati sentimen rakyat terhadap situasi ekonomi negara agak seimbang dan hala tuju Malaysia pada arah yang betul.

Namun begitu, skor Kad Laporan 100 hari Kerajaan Perpaduan itu sedikit tercalar berkenaan kepuasan hati rakyat daripada segi usaha dan keyakinan kerajaan dalam menunaikan manifesto.

Skor rendah tersebut disumbangkan oleh sentimen yang sangat rendah daripada kalangan Melayu Semenanjung.

Sementara itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berharap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempercepatkan tindakan supaya kerja-kerja pembesaran Hospital Pontian dapat dilakukan bermula pada tahun ini.

"Hari ini, saya melawat tapak yang mungkin akan dibangunkan untuk kerja-kerja pembesaran Hospital Pontian melibatkan cadangan bangunan lima tingkat dan perobohan bangunan lama bagi satu lagi blok bangunan lima tingkat.

"Saya harap kedua-dua blok bangunanini dapat menampung kapasiti pesakit yang bertambah selain Hospital Pontian yang sudah berusia 100 tahun," ujarnya.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2023 pada Jumaat, kerajaan dilaporkan akan memulakan kerja awalan untuk menaik taraf sebanyak 26 hospital termasuk pembesaran Hospital Kuala Kangsar, Perak; Jelebu, Negeri Sembilan dan juga Hospital Pontian, Johor yang telah berusia hampir seabad.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!