Bapa dikhuatiri lemas ketika cuba selamatkan anak
KEMAMAN - [DIKEMAS KINI] Seorang buruh kilang dikhuatiri lemas ketika cuba menyelamatkan anaknya yang dibawa arus sungai dalam kejadian di Lubuk Tapeng, Air Putih, di sini pada Ahad.
Mangsa, Mohd Mirwan Mohd Remli, 40, dari Kampung Batu 9, Ibok dikatakan tenggelam dan tidak timbul selepas masuk ke sungai manakala anak lelakinya berusia 12 tahun berjaya menyelamatkan diri.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama isteri dan dua anaknya pergi ke Lubuk Tapeng sekitar jam 9.30 pagi untuk memancing dan mandi manda.
Menurutnya, berdasarkan keterangan isteri mangsa, kira-kira jam 1.45 petang, salah seorang anak mereka, Muhammad Zafran Aidil dibawa arus ke tengah sungai dan mangsa bergegas menyelamatkan kanak-kanak itu.
“Anaknya berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada dahan pokok berhampiran manakala mangsa tidak timbul selepas tenggelam,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Menurutnya, selepas menyedari mangsa tidak timbul, isterinya berusia 36 tahun bertindak meminta bantuan orang kampung dan membuat laporan polis.
“Gerakan mencari dan menyelamat mangsa oleh pasukan penyelamat kini sedang dilakukan di lokasi kejadian,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!