Jemaah penuhi masjid, ikuti kuliah Ustaz Azhar Idrus

Keadaan jemaah yang hadir kuliah maghrib UAI pada Ahad
Keadaan jemaah yang hadir kuliah maghrib UAI pada Ahad
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Meskipun terpalit kontroversi ceramah dibatalkan kerana tiada tauliah untuk mengajar agama di Selangor, namun kuliah Maghrib Perdana oleh penceramah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI) di Masjid Ar-Rahimah Kampung Pandan, di sini dihadiri ratusan jemaah.

Tinjauan Sinar Harian pada Ahad di masjid berkenaan mendapati orang ramai mula memenuhi kawasan dalam masjid itu sejak jam 6.30 petang lagi.

Sebahagian jemaah juga sanggup menunggu dari waktu Asar lagi semata-mata untuk mendapat tempat paling hampir bagi melihat penceramah popular tersebut.

Bilangan jemaah terlalu ramai sehingga ada yang terpaksa berdiri di luar masjid.
Bilangan jemaah terlalu ramai sehingga ada yang terpaksa berdiri di luar masjid.

Dalam pada itu, suasana di luar masjid turut meriah dengan pelbagai gerai jualan seperti juadah makanan, minuman, pakaian dan songkok.

Difahamkan, aktiviti penjualan melibatkan seramai 24 peniaga itu merupakan anjuran pihak masjid bagi memeriahkan lagi kuliah Maghrib berkenaan.

Peniaga minyak wangi, Muhammad Bahtiyar Muhammed Akhyar, 41, berkata, kehadiran orang ramai bagi menghadiri kuliah terbabit amat mengejutkan.

"Ini dah kali kedua saya meniaga di sini. Setakat ini saya tengok belum pernah lagi masjid ini penuh macam sekarang.

"Ada tadi seorang pelanggan yang selalu solat di sini beritahu, solat Jumaat pun tidak seramai ini," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Muhammad Bahtiyar (kiri), Mohamad Mazlan dan Mohd Taufiq
Muhammad Bahtiyar (kiri), Mohamad Mazlan dan Mohd Taufiq

Selain itu, pemandu lori, Mohamad Mazlan Miftah Rahmat, 35, berkata, dia sebelum ini memang tidak ketinggalan menghadiri kuliah UAI setiap kali dianjurkan di Kuala Lumpur.

"Masa ceramah ustaz di Taman Bukit Cheras kelmarin, saya dapatlah duduk di hadapan. Memang sempat salam dengan dia.

"Tetapi hari ini saya lambat tahu, jadi saya boleh tengok dari jauh sahaja," menurutnya.

Orang ramai yang berada di luar masjid melihat kuliah maghrib UAI melalui skrin.
Orang ramai yang berada di luar masjid melihat kuliah maghrib UAI melalui skrin.

Sementara itu, peniaga barangan keperluan solat, Mohd Taufiq Md Kusai, 35, berkata, kehadiran UAI ke masjid itu sememangnya ditunggu-tunggu oleh orang ramai sehingga ada yang datang jauh termasuk dari Selangor.

"Saya pun ada tanya pelanggan tadi, ada yang kata datang dari Shah Alam dan Sungai Buloh.

"Jadi pengikut ustaz ini memang sanggup datang dari jauh, tambah pula hari ini hari minggu, orang bercuti," ujarnya.

Gerai jualan turut disediakan di luar kawasan masjid.
Gerai jualan turut disediakan di luar kawasan masjid.

Sebelum ini, ceramah UAI di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong dibatalkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) susulan tidak mempunyai tauliah mengajar agama di Selangor.

Menurut Pengarah JAIS, Datuk Shahzihan Ahmad, ketetapan itu tertakluk kepada undang-undang dan peraturan berkuat kuasa di Selangor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!