Angka kematian letupan di Sri Lanka cecah 290 orang

Anggota pasukan keselamatan Sri Lanka berkawal di luar gereja St. Anthony, sehari selepas gereja terbabit menjadi antara sasaran letupan bom yang sehingga kini mengorbankan lebih 200 nyawa. - Foto AFP
Anggota pasukan keselamatan Sri Lanka berkawal di luar gereja St. Anthony, sehari selepas gereja terbabit menjadi antara sasaran letupan bom yang sehingga kini mengorbankan lebih 200 nyawa. - Foto AFP
A
A
A

COLOMBO - SRI LANKA. Angka kematian ekoran beberapa siri letupan bom yang menyasarkan gereja dan hotel terkemuka di Sri Lanka semalam kini meningkat kepada 290 orang.

Jurucakap polis memaklumkan, angka mangsa cedera turut meningkat kepada 500 orang berbanding 450 seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Lapan letupan terancang yang antara lain menyasarkan gereja katolik St Anthony di Colombo, gereja St Sebastian dan sebuah gereja di Batticola serta Hotel Shangri-La, Hotel Kingsbury dan Hotel Cinnamon Grand di ibu negara itu menerima kecaman ramai pemimpin dunia termasuk Perdana Menteri India Narendra Modi, Kaunselor Jerman Angela Merkel serta Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Pihak berkuasa turut mendedahkan penemuan sebutir lagi bom yang diubah suai berhampiran lapangan terbang utama di Colombo lewat petang semalam, bom berkenaan bagaimanapun berjaya berjaya dimatikan oleh pasukan tentera udara.

Dalam pada itu, perintah berkurung yang dikenakan di seluruh negara telah ditarik balik awal hari ini, namun pasukan keselamatan kelihatan masih berkawal di gereja St Sebastian yang menjadi salah satu lokasi serangan.

Insiden letupan serentak itu dilaporkan mengorbankan antaranya tiga warga India, tiga warga Britain, dua warga Turki dan seorang warga Portugal serta dua lagi pemegang pasport Britain dan AS.

"Sembilan warga luar negara dilaporkan hilang dan terdapat 25 mayat tidak dikenal pasti yang dipercayai adalah warga asing," kata kementerian luar Sri Lanka.

Kementerian Luar Jepun pula mengesahkan seorang daripada rakyatnya merupakan antara mangsa yang maut.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab mendalangi siri pengeboman yang dilakukan ketika penganut Kristian meraikan Hari Easter itu.

Pihak polis memaklumkan setakat hari ini, 24 orang orang telah ditahan dan siasatan akan dijalankan bagi mengetahui sama ada penyerang mempunyai hubungan di luar negara.

Ekoran tragedi berkenaan, Perdana Menteri Ranil Wikremesinghe menggesa rakyat untuk terus bersatu dalam menghadapi saat getir ini selain turut berikrar akan memusnahkan kejahatan ini buat selamanya. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!