Negeri Sembilan, Sri Pahang kongsi mata di Paroi

Pemain Negeri Sembilan, Anselmo Arruda Da Silva (tengah) dikejar pemain Sri Pahang pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini. - Foto Bernama
Pemain Negeri Sembilan, Anselmo Arruda Da Silva (tengah) dikejar pemain Sri Pahang pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

HASRAT Negeri Sembilan FC mengutip tiga mata di laman sendiri pada aksi pembukaan Liga Super 2023 tidak kesampaian apabila diikat Sri Pahang FC, 1-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Ahad.

Skuad Rusa kendalian K Devan yang melabuh kempen musim lalu di kedudukan keempat liga tampil dengan misi tiga mata berdepan tentangan sengit angkatan Tok Gajah kendalian Fandi Ahmad.

Tuan rumah diketuai Nasrulah Hanif serta gandingan Safuwan Baharudin dan Mahali Jusaili ternyata garang pada 20 minit pertama.

Asakan demi asakan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil apabila Casagrande menewaskan penjaga gawang Tok Gajah, Izham Tirmizi bagi meletakkan Negeri Sembilan di hadapan pada minit ke-21 bagi memimpin babak pertama perlawanan.

Namun, pada babak kedua Tok Gajah yang berkedudukan ketujuh musim lalu kembali memperkemaskan permainan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Abdul Malik Mat Ariff pada minit ke-48 menewaskan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

Negeri Sembilan akan berkunjung ke Stadium Bandaraya, Georgetown berdepan Penang FC bagi perlawanan kedua liga pada Rabu ini.

Sementara itu Sri Pahang akan menerima kunjungan Kelantan FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Khamis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!