Scammer: Adakah kill switch cara terbaik?
BARU-baru ini, penulis seperti mana jutaan rakyat Malaysia yang lain teruja dengan pengumuman Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun, satu pengumuman yang menarik perhatian ialah pengenalan satu kaedah baharu oleh kerajaan untuk mengatasi masalah scammer iaitu kill switch.
Menurut ucapan Belanjawan 2023, Bank Negara akan menguatkuasakan dasar kill switch kepada semua institusi perbankan bagi membolehkan pengguna sendiri mengambil tindakan segera membekukan akaun mereka.
Ini susulan daripada laporan yang mendedahkan rakyat Malaysia telah kerugian sebanyak RM850 juta, angka hampir RM1 bilion sepanjang tahun 2022.
Bukan RM85 atau RM850, tetapi RM850 juta. Angka yang cukup ngeri dan menyeramkan.
Dalam hati mangsa scammer, satu soalan sering ditanya; adakah duit simpanan mereka dapat diselamatkan atau dikembalikan semula?
Namun, pada pandangan penulis, perkara pokok yang menjadi perhatian utama kepada semua pengguna bank adalah mengenai keselamatan duit simpanan mereka.
Bayangkan, duit simpanan puluhan hingga ratusan ribu hilang begitu sahaja sehingga tinggal baki minimum yang diperlukan oleh bank untuk terus aktif digunakan.
Penulis sama juga seperti jutaan pengguna akaun bank seluruh rakyat Malaysia berasa risau, adakah duit simpanan masih selamat dan sekiranya hilang, adakah duit tersebut dapat dikembalikan semula?
Operasi perniagaan bank memang bersifat keuntungan semata-mata, sudah tentu proses mendapat kembali semula wang yang hilang bukan menjadi perkara utama dalam asas perniagaan mereka.
Di sini, pada hemat penulis, pihak kerajaan selaku wakil suara rakyat, boleh membuat satu perubahan atau reform tentang keselamatan duit jutaan rakyat hasil penat lelah bekerja untuk kelangsungan hidup.
Akta atau undang-undang baharu untuk melindungi dan menjamin wang simpanan pengguna bank boleh diperkenalkan bagi membela nasib dan hak pendeposit.
Akta ini boleh memperjuangkan nasib mangsa scammer dengan membuat satu kawalan ketat kepada pihak bank untuk meneliti semula kes kehilangan duit dan melindungi wang simpanan.
Kerajaan juga boleh memperkenalkan satu bentuk skim wajib insurans perlindungan mangsa scammer.
Melalui bank masing-masing, pengguna bank boleh membayar premium RM50 hingga RM150 setahun, bergantung dengan jumlah perlindungan sekitar RM10,000 hingga RM100,000 ataupun lebih.
Sedikit sebanyak, sekiranya rakyat menjadi mangsa scammer, mereka mempunyai satu bentuk perlindungan untuk mendapat balik duit mereka.
Selain itu, pihak bank juga harus menambah satu lagi lapisan ketat untuk setiap kali operasi pemindahan duit dilakukan.
Apa jua transaksi perlu mendapat verifikasi kali ketiga dengan memperkenalkan satu jenis panggilan automatik robot untuk mengesahkan transaksi tersebut.
Panggilan ini boleh dilaksanakan melalui aplikasi mudah alih bank masing-masing ataupun secara terus dari pusat khidmat panggilan bank.
Operasi keselamatan transaksi juga perlu ditambah baik setiap tahun supaya scammer pening kepala untuk menipu dan menyalahgunakan kelemahan keselamatan sedia ada.
Pendek kata, kill switch tidak cukup kuat untuk melindungi hak pengguna mahupun banteras scammer.
Angka RM850 juta sangat membimbangkan dan sekiranya kerajaan tidak memperjuangkan hak suara mangsa scammer, penulis tidak terkejut satu hari nanti, angka RM850 juta akan bertukar menjadi RM8.5 bilion setahun.
Kerajaan yang mempunyai pegangan milikan bank-bank utama melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mampu membuat satu perubahan membawa suara rakyat.
Perdana Menteri yang juga memegang portfolio Kementerian Kewangan boleh mengambil peluang ini untuk membela suara keluhan mangsa scammer dan melakukan reformasi perlindungan pengguna-pengguna bank.
Sampai bila kita mahu mendengar rakyat Malaysia setiap hari ditipu dengan scammer, wang mereka dicuri lesap dan hilang begitu sahaja manakala bank tidak menanggung apa-apa kerugian, malah terus mengaut keuntungan ratusan dan ribuan juta ringgit setiap tahun.
Rakyat bukan mahu akaun bank mereka dibekukan, mereka mahu wang hasil titik peluh mereka dikembalikan semula.
* Roz Ariffin Rozaid ialah penyunting Sinar Harian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!