Syam rangkul Tali Pinggang Sinar Harian
MENGASAK bertubi-tubi menjadi strategi kemenangan Mazlisham Mohamed untuk merangkul Tali Pinggang Sinar Harian setelah menewaskan Ariq Iqwan dalam Kejohanan Kuda Merah Muay Thai Antarabangsa 2023.
Asakan petinju dari Kuda Merah PDRM Naga Emas itu membuatkan lawannya rebah pada pusingan ketiga daripada lima pertarungan di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada malam Sabtu.
Petinju berusia 23 tahun itu menerima tentangan sengit Ariq pada pusingan pertama sebelum lebih banyak bertahan pada pusingan berikutnya.
Bangkit mengasak pada pusingan ketiga menyebabkan lawannya tidak mampu bertahan dan terpaksa mengalah.
“Alhamdulillah strategi jurulatih menjadi. Sengit pada pusingan pertama sebelum saya memperlahankan rentak dan kemudian mengasak bertubi-tubi untuk meraih kemenangan,” katanya yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan.
Terkenal dengan jolokan Syam Anak Kapal merupakan anggota polis Pasukan Gerakan Am (PGA) di Tawau, Sabah sudah memenangi 67 daripada 70 pertarungan sejak empat tahun lalu.
Turut ditawarkan pada hari terakhir kejohanan ialah Tali Pinggang Majlis Sukan Wilayah Persekutuan yang dimenangi petinju dari Kuda Merah Selatan, Nizam Joeffery setelah menundukkan Hazami dari APD Anak Rimau.
Petinju dari Kuda Merah Taiping, Muhammad Haikal Najmi pula merangkul Tali Pinggang Neutrovis selepas mengalahkan Alfred Chinga dari Selendang Kuning secara kiraan mata.
Tali Pinggang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula diraih R. Kumaran dari Red Wolves Muay Thai setelah menumbangkan Mie dari Harimau Berantai pada pusingan kedua.
Petinju dari Glorious Fight Club, Aiman pula memenangi Tali Pinggang King Tom Yam setelah menewaskan Zul Husni Azman dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada pusingan kedua.
Tali Pinggang Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) pula menjadi milik Rahim Mohamad dari Kuda Merah PDRM yang menundukkan To Tok dari Thailand pada pusingan kedua.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Ketua Pengarah JWP, Datuk Seri Rosida Jaafar dan wakil penaja.
Tali Pinggang Sinar Harian pula disampaikan oleh Presiden Kuda Merah Kelantan, Nik Mahmud Nik Jaffar yang mewakili Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.
Penganjuran kejohanan selama dua hari itu adalah sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan Sinar Harian merupakan rakan media rasmi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!