Nilai semula uniform pramugari agar lebih sopan dan manis
DESTINASI cuti hujung minggu Merak Jalanan kali ni ke sebuah negeri di utara tanah air bagi memenuhi undangan perkahwinan anak sahabat ketika di zaman universiti.
Sengaja memilih pengangkutan udara kerana tempoh cuti yang singkat selain boleh mencepatkan perjalanan.
Sebaik menaik pesawat, mata Merak Jalanan terarah kepada dua pramugari yang sedang sibuk mengatur dan membantu penumpang duduk di tempat yang telah ditetapkan.
Bukan sahaja kedua-dua pramugari itu jelita, dengan rambut separas bahu dilepaskan, serta solekan mampan sudah cukup membuatkan semua tumpuan ke arah mereka.
Bagaimanapun, pandangan Merak Jalanan seolah-olah terganggu dek skirt pendek pramugari itu. Bukan sahaja pendek, malahan terbelah pula.
Ketika pramugari itu duduk semasa pesawat sedang berlepas, aduhai, terseksa mata Merak Jalanan. Sudah hampir menampakkan ‘perkara’ yang tidak sepatutnya orang lain melihat.
Sesungguhnya, tempoh 5 minit pesawat diterbangkan itu merupakan 5 minit paling lama dalam hidup Merak Jalanan. Yang ‘acik-acik’ duduk sebaris Merak Jalanan pula, tidak lepas pandangan kepada suami-suami mereka sambil memastikan mata pakcik-pakcik tidak meliar ke arah paha pramugari.
Lucu! Namun, seikhlas hati Merak Jalanan merasakan sudah tiba masanya syarikat penerbangan menilai semula uniform pramugari mereka demi kesejahteraan bersama.
Mereka mungkin ibu, isteri ataupun adik perempuan kepada seseorang. Sanggup kah anda membiarkan orang tersayang menjadi objek pameran sebegitu? Mereka juga mungkin terdedah kepada individu yang berniat jahat.
Sebenarnya, ramai lagi wanita-wanita bertudung di luar sana yang mahu berkhidmat di udara dan mereka juga berbakat. Sudah-sudahlah menggunakan uniform ketat yang tidak manis dipandang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!