Dua penganggur ditahan miliki dadah
KOTA BHARU - Dua penganggur ditahan anggota polis kerana memiliki dadah berjumlah RM 12,000 dalam dua serbuan berasingan pada Selasa dan Rabu lalu.
Ketua Polis Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, tangkapan pertama dilakukan di rumah dekat Lorong Haji Yunus, pada jam 12.10 malam, Selasa lalu.
Menurutnya, hasil pemeriksaan pada tubuh suspek berusia 24 tahun itu, menemui lima botol serbuk putih dipercayai heroin seberat 20.9 gram dan 100 biji pil yaba atau methamphetamine.
"Suspek mengaku memiliki dadah berkenaan dan melakukan aktiviti pengedaran dijalankan di sekitar Kota Bharu, sejak Jun lalu.
"Lelaki itu menerima bekalan terbabit dari pembekal yang tinggal di daerah ini," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Bharu, hari ini.
Hadir sama Ketua Bahagian Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri.
Bagi tangkapan kedua, beliau berkata, polis menahan seorang lagi penganggur di Lorong Berek 12, jam 1.30 malam, semalam.
Suspek berusia 21 tahun itu ditahan kerana memiliki 5.3 gram pil yaba bernilai RM1,000.
Menurutnya, suspek mengaku terlibat dengan kegiatan pengedaran sejak Okteber lalu dan memperolehi bekalan dari pembekal tempatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!