Pembelian MySejahtera antara tumpuan Dewan Rakyat

Hasil rundingan KKM dengan Syarikat MySJ Sdn Bhd untuk membeli aplikasi MySejahtera antara tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat pada Isnin.
Hasil rundingan KKM dengan Syarikat MySJ Sdn Bhd untuk membeli aplikasi MySejahtera antara tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perkembangan mengenai perincian hasil rundingan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan Syarikat MySJ Sdn Bhd untuk membeli aplikasi MySejahtera antara dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat di sini, pada Isnin.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, soalan itu dikemukakan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) kepada Menteri Kesihatan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan dan beliau juga ingin tahu pelan KKM untuk mengoptimumkan penggunaan aplikasi itu.

Turut dibangkitkan adalah persoalan daripada Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) kepada Menteri Dalam Negeri mengenai langkah penyelesaian proaktif dan progresif dalam mengatasi isu kesesakan yang serius bagi urusan pasport di Jabatan Imigresen Malaysia.

Sh Mohmed ingin tahu sama ada kementerian berkenaan mempunyai cadangan untuk mengembalikan semula proses permohonan pasport secara walk-in (tanpa janji temu) di pejabat imigresen berbanding permohonan menerusi dalam talian dan menghapuskan sistem kuota harian bagi permohonan pasport.

Selain itu, Azli Yusof (PH-Shah Alam) pula meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan inisiatif kerajaan membantu pekerja ekonomi gig, selain cabaran dihadapi untuk memberi atau mewajibkan jaminan perlindungan insurans bagi sektor itu.

Selesai sesi soal jawab itu, perbahasan bagi Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 juga dijadualkan akan berlangsung pada Isnin.

Jumaat lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2023 yang memperuntukkan sejumlah RM388.1 bilion, dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus, RM99 bilion belanja pembangunan termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!