Dua pelajar ditahan dalam Op Samseng Jalanan

Wan Mohd Zahari (dua dari kiri) melakukan pemeriksaan ke atas penunggang yang ditahan dalam Ops Bersepadu Luaran Samseng Jalanan BSPT IPD Kuantan sekitar daerah ini pada Sabtu dan Ahad lalu.
Wan Mohd Zahari (dua dari kiri) melakukan pemeriksaan ke atas penunggang yang ditahan dalam Ops Bersepadu Luaran Samseng Jalanan BSPT IPD Kuantan sekitar daerah ini pada Sabtu dan Ahad lalu.
A
A
A

KUANTAN - Dua pelajar ditahan dalam Op Bersepadu Luaran Samseng Jalanan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan sekitar daerah ini pada Sabtu dan Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pelajar itu ditahan mengikut Seksyen 108 (3) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana motosikal ditunggangnya didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Manakala seorang lagi ditahan mengikut Seksyen 42 (1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

"Dua motosikal jenis Honda EX5 dan Yamaha LC yang digunakan pelajar berusia 18 tahun itu turut disita," katanya.

Katanya, operasi yang terbahagi kepada tiga fasa utama itu membabitkan 58 pegawai dan anggota pelbagai agensi termasuk polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Hasil operasi itu, polis mengeluarkan 202 saman atas pelbagai kesalahan terhadap penunggang motosikal," katanya.

Antara motosikal yang diperiksa dalam Ops Bersepadu Luaran Samseng Jalanan BSPT IPD Kuantan sekitar daerah ini pada Sabtu dan Ahad lalu.
Antara motosikal yang diperiksa dalam Ops Bersepadu Luaran Samseng Jalanan BSPT IPD Kuantan sekitar daerah ini pada Sabtu dan Ahad lalu.

Wan Mohd Zahari berkata, kesalahan tertinggi melibatkan kesalahan nombor pendaftaran dengan 42 kes diikuti lesen memandu (33), ubah suai (25), tiada cermin sisi (25), ubah suai ekzos (24), topi keledar (21), cukai jalan (9), insurans (7), penunggang bawah umur (3) dan lain-lain kesalahan (13).

"Dalam operasi sama, JPJ Pahang telah melakukan pemeriksaan ke atas 171 kenderaan dan enam notis arah periksa dikeluarkan.

"Turut dikeluarkan enam notis PG1 (arahan kembalikan motosikal diubah suai kepada keadaan asal) dan 18 saman atas pelbagai kesalahan manakala JAS mengeluarkan 12 notis dan 11 kompaun atas kesalahan ekzos bising hasil pemeriksaan ke atas 33 kenderaan dalam operasi itu," katanya.

Beliau berkata, operasi berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!