Devan puas hati komitmen tinggi The Jangs
PENGENDALI Negeri Sembilan FC, K Devan nyata berpuas hati dengan permainan dipamer pasukannya meskipun hasrat meraih tiga mata pada perlawanan pertama menentang Sri Pahang FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi tidak kesampaian.
Beliau berkata, semua pemain yang diturunkan termasuk pemain importnya memberi komitmen tinggi dan berdisiplin sepanjang lebih 90 minit tempoh perlawanan dengan lebih banyak menguasai permainan pada separuh masa pertama.
"Bukan mudah tapi mereka mencuba sebaik mungkin dan saya rasa semangat juang mereka juga tinggi, kita bermain dengan baik pada separuh masa pertama dan ada banyak peluang serta percubaan (jaringkan gol) berbanding pasukan lawan.
"Saya rasa memang puas hati walaupun dapat satu mata tetapi tidak kalah di tempat sendiri, dalam keadaan serba kekurangan, lawan Sri Pahang yang buat persiapan lebih baik dan pemain import yang banyak," katanya kepada pemberita selepas perlawanan di Paroi.
Dalam perlawanan berkenaan, Negeri Sembilan berkongsi satu mata dengan skuad Tok Gajah selepas terikat seri 1-1.
Devan berkata, keputusan itu juga pastinya akan memberi semangat kepada skuad The Jangs menempuh perlawanan kedua menentang Penang FC di Stadium Bandaraya, Georgetown, Rabu ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki pasukannya bagi menghadapi aksi seterusnya terutama dari segi kecergasan pemain import dan bahagian serangan.
Sementara itu, pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad mengakui ketumpulan jentera serangan menjadi antara punca pasukannya sekadar meraih seri.
"Kelemahan kami adalah pengurusan permainan, babak kedua kami dah kawal, tapi bila ada yang cedera, kami kelam-kabut nak cepat, jadi kami tak tahu nak urus permainan, keseluruhan corak permainan, saya kurang puas hati namun gembira dengan keputusan sebab matlamat kami nak tiga atau satu mata," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!