[VIDEO] Dewan Rakyat kecoh mukadimah pembangkang 'kosong'
KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat kecoh seketika ketika Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin memulakan sesi perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Isnin.
Ia susulan ucapan Hamzah (PN-Larut) yang disifatkan sebagai ‘kosong’ meskipun sudah lebih 15 minit dibacakan.
Perkara berkenaan dibangkitkan oleh Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru).
“Saya ada ekspetasi tinggi terhadap Larut tetapi apa yang saya dengar 17 hingga 18 minit ucapan Larut tidak ‘straight to the point’. Kerana tak ada isi, hanya sembang kencang.
“Saya harapkan pembangkang boleh bangkitkan belanjawan bayangan...tetapi setakat ini pembangkang tak buat kerja...kalau nak jadi pembangkang yang membina, bawa lah belanjawan bayangan..sekarang tak ada.
“Saya rasa kecewa sebab pembangkang tak membina langsung,” katanya ketika mencelah.
Bagaimanapun celahan itu diselar oleh Hamzah dengan menyifatkan ia sebagai mukadimah yang wajar.
“Itu baru mukadimah...mukadimah pun dah naik angin. Ini apa ni? Ini Kerajaan Perpaduan macam mana?
“Saya baru nak masuk tentang pasaran ekonomi baharu, tak sempat-sempat...yang dia takut sangat ni apasal? Dia belum tahu pun apa yang saya nak sampaikan.
“Yang saya nak sampaikan adalah kami di sini adalah sesuatu kumpulan yang nak lihat semak dan imbang apa yang disampaikan kerajaan.
“Jadi kalau YB Tambun (Datuk Seri Anwar Ibrahim) boleh baca bermacam-macam ayat al-Quran dengan menggunakan segala filosofinya, eh apa salahnya juga pembangkang melalui saya bermula dengan pendahuluan seperti ini? Yang kau sibuk kenapa?,” soalnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!