'Tadbir kerajaan bukan macam lari pecut' - Saarani
IPOH - Kerajaan negeri Perak mengakui tempoh 100 hari pentadbiran agak singkat bagi melaksanakan pelbagai usaha dan perancangan untuk rakyat.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bagaimanapun dalam tempoh 100 hari pentadbiran kerajaan negeri Perak semua yang dirancang berjalan lancar malah hampir setiap minggu mesyuarat Exco dilaksanakan.
Menurutnya, di dalam mesyuarat Exco, banyak kertas Exco yang diluluskan sekali gus memberi penyelesaian terhadap pelbagai masalah terutama berkaitan dengan tanah.
"Mentadbir negeri bukan macam sprinter (pelari pecut) lari 100 meter, (tetapi) macam lari marathon beribu-ribu kilometer secara berterusan sebab 100 hari ini apa yang kita boleh buat sebenarnya?
"Tapi saya boleh kata dalam tempoh terdekat ini, mesyuarat Exco dijalankan saban minggu seperti biasa malahan ada waktu-waktu kertas Exco begitu banyak kita luluskan," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sistem Amaran Awal Kepala Air dan Kick-off Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Bagi Tahun 2023 di Taman Eko Rimba Kledang Saiong, Bandar Meru Raya, di sini pada Isnin.
Saarani berkata, dari semasa ke semasa pihaknya membuat penilaian dan sentiasa menambah baik prestasi kerajaan negeri.
Ditanya mengenai Exco kerajaan negeri, beliau mengakui berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan oleh 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik.
"Prestasi Exco kerajaan negeri tak ada masalah. Kita tak cari kekurangan orang, kita cari kelebihan dia. Kita tak cari perbezaan, kita cari persamaan.
"Walaupun kadang-kadang ada perbezaan pendapat, itu biasa. Jadi akhirnya kita buat keputusan bersama," katanya.
Dalam perkembangan lain, Saarani berkata, tujuh dari pada 13 kawasan rekreasi perkelahan telah dipasang Sistem Amaran Awal Kepala Air di seluruh negeri.
Katanya, pemilihan kawasan tersebut dibuat berdasarkan jumlah kehadiran orang ramai yang berkunjung di situ dan sering berlaku insiden kepala air.
Menurutnya, dua lokasi terbaharu yang dipasang melibatkan kawasan Taman Eko Rimba Kledang Saiong, Ipoh dan Lata Iskandar, Tapah dengan kos RM800,000.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!