Angkatan Mahasiswa UM gesa mansuhkan AUKU

Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya.
Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya.
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya menggesa kerajaan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

Menurut kenyataan media, angkatan tersebut juga menggesa semua ahli Parlimen untuk bersama-sama menekan kerajaan bagi memansuhkan undang-undang tersebut.

Jelas Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya, Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) juga perlu lebih tangkas dan cepat untuk berjumpa dengan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagi berbincang mengenai perkara itu.

“Angkatan Mahasiswa juga ingin memberi tempoh selama 14 hari untuk Menteri Pengajian Tinggi memberi respon atas tuntutan daripada Angkatan Mahasiswa ini,” kata kenyataan tersebut pada Isnin.

Pada 24 Februari, menurut laporan sebuah portal, Mohamed Khaled memaklumkan bahawa kerajaan tiada cadangan untuk memansuhkan AUKU.

Menurut Mohamed Khaled, undang-undang itu masih relevan terutama dalam soal pentadbiran universiti dan kerajaan juga terbuka untuk menambah baik serta melibatkan pihak berkepentingan dalam AUKU.

Mengulas mengenai kenyataan itu, Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya berkata, tidak dinafikan setiap institusi perlu mempunyai undang-undang, namun sekiranya AUKU disalahgunakan ia adalah suatu kemunafikan.

Jelasnya, sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengeluarkan kenyataan dengan berjanji bahawa mahasiswa bebas mengkritik kerajaan.

Tambahnya, ia tidak semestinya kerajaan yang akan menghalang, ia boleh jadi di mana pihak pentadbiran universiti sendiri akan salah gunakan kuasa untuk mengekang mahasiswa atau mahasiswi untuk bebas bercakap soal politik di dalam kampus.

Tambah kenyataan itu, pemansuhan akta tersebut perlu dilakukan memandangkan Pemuda Pakatan Harapan (PH) telah berjanji untuk memansuhkannya semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), selain ia terdapat di dalam manifesto parti.

“Kerajaan boleh beri alasan bahawa ia tidak boleh dilaksanakan oleh kerana kerajaan pada hari ini adalah ‘Kerajaan Perpaduan’. Akan tetapi, janji tetap janji,” ujarnya.

Selain itu, Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya turut mencadangkan agar kerajaan melibatkan wakil atau gerakan pelajar untuk berada dalam Jawatankuasa AUKU.

“Jawatankuasa ini bertanggungjawab untuk berbincang soal pemansuhan AUKU secara keseluruhan,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!