Pekebun didenda RM6,500, hina Agong di Facebook
KUALA LUMPUR - Seorang pekerja kebun kelapa sawit didenda RM6,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin kerana membuat penghantaran komunikasi jelik membabitkan Yang di-Pertuan Agong di laman Facebook miliknya, Disember tahun lepas.
Hakim Nor Hasniah Ab Razak menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Hanis Nordin, 34, selaku Orang Kena Saman (OKS), yang mengaku bersalah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat jelik menggunakan laman profil Facebook 'As Bul' dengan niat untuk menyakiti hati orang lain pada 3.23 pagi,10 Disember tahun lepas.
Hantaran itu kemudian dilihat di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman di sini pada 8.18 malam, 13 Disember 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Mahkamah turut memerintahkan Muhammad Hanis dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.
Ketika rayuan, Muhammad Hanis yang tidak diwakili peguam memohon denda dikurangkan dengan alasan dia insaf dan menyesal dengan perbuatannya serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.
"Saya tiada niat untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak. Saya hanya bekerja di kebun kelapa sawit milik keluarga saya," katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nur Azmal bagaimanapun memohon hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
"OKS telah melanggar hak kebebasan bersuara kerana perkataan yang digunakan oleh OKS dalam hantaran tersebut tidak mencerminkan budaya kesopanan dan kesusilaan seperti mana termaktub dalam rukun negara," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!