Rider tular tendang pengawal keselamatan serah diri

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

KAJANG - Penghantar makanan yang tular menendang pengawal keselamatan di Taman Bukit Meringin, Kajang, dekat sini akhirnya menyerah diri kepada polis, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, suspek merupakan lelaki Melayu berumur 31 tahun itu ditahan setelah bertindak menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada Ahad, sekitar jam 6 petang.

Beliau berkata, siasatan berhubung kes tersebut masih dijalankan di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan.

"Keterangan daripada saksi-saksi kejadian akan diambil untuk melengkapkan siasatan, sebelum kes ini dirujuk kepada pihak pendakwa raya bagi mendapatkan arahan lanjut," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sinar Harian sebelum itu melaporkan, polis menerima satu laporan pada Jumaat lalu daripada seorang lelaki berusia 42 tahun menyatakan pekerjanya warga Nepal telah ditendang oleh seorang penghantar makanan di pos pengawal Taman Bukit Meringin, Sungai Ramal Luar, Kajang.

Punca kejadian disebabkan sikap tidak puas hati penghantar makanan itu kerana mangsa menyatakan rumah dituju tersebut kosong dan tidak berpenghuni.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes tular 'rider' ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau pegawai penyiasat, Sarjan Ahmad A'fifi Ahmad Humaidi di talian 019-7142486.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!