Malaysia bukan 'Rumah Singgah' Fabio Asher
KUALA LUMPUR - Tidak sampai beberapa bulan, penyanyi, Fabio Asher sekali lagi 'singgah' ke Malaysia buat bertemu dengan peminat setianya menerusi konsert Fabio Asher live in Kuala Lumpur 2.0.
Lebih istimewa apabila peminat yang hadir dapat mendengarkan lagu-lagu baharu nyanyian Fabio secara langsung buat pertama kali.
Mengakui teruja untuk kembali ke Malaysia, pelantun lagu Bertahan Terluka memberitahu kepada peminat bahawa dia akan kembali ke Malaysia untuk kali yang ketiga tahun hadapan.
“Saya akan kembali ke Malaysia lagi tahun depan untuk festival galau,” katanya ringkas kepada peminat yang hadir di Zepp Kuala Lumpur pada Sabtu.
Peminat-peminat yang hadir juga sangat berpuas hati dengan persembahan yang sangat bertenaga dari Fabio.
Menurut salah seorang peminat yang hadir, Syafiqah Idayu ini merupakan kali kedua dia datang ke Konsert Fabio.
“Saya minat dia dari lagu Bertahan Terluka lagi, konsert pertama pun saya pergi, saya sangat berpuas hati, kalau datang tahun depan saya tak akan lepaskan peluang untuk datang dan berjumpa dengan Fabio,” katanya kepada Awani.
Selain Syafiqah, Mughny Afif juga berkongsi keterujaanya apabila dapat hadir ke konsert Fabio dan menyaksikan bekas peserta X Factor Indonesia itu menyanyikan lagu-lagu hitnya secara langsung.
Fabio menyanyikan 17 buah lagu antaranya Bertahan Terluka, Rumah Singgah, Hati Lain di Hatimu, Tanpa Rasa Bersalah, dan Akhir yang Manis.
Selain Fabio, konsert ini juga dimeriahkan lagi dengan persembahan jemputan daripada Ara Johari dan juga persembahan spontan daripada bekas peserta Big Stage, Aisha Retno.
Pertama kali Fabio Asher datang ke Malaysia adalah pada 14 Oktober 2022 sempena konsert Fabio Asher live in Kuala Lumpur. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!