Anak Tajuddin tanding Ketua Bahagian UMNO Pasir Salak
IPOH - Anak sulung bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman iaitu Dr Faizal Tajuddin mengesahkan bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak pada pemilihan kali ini.
Faizal berkata, borang pencalonan telah dihantar ke Pejabat UMNO Bahagian Pasir Salak, Ahad lalu.
Menurutnya, keputusan tersebut dibuat selepas mendapat restu daripada Tajuddin yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian berkenaan.
"Ya, saya sahkan perkara itu (pencalonan sebagai Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak) dan borang pencalonan juga telah saya kemukakan semalam. Kita tunggu senarai rasmi nanti.
"Sebenarnya keputusan ini dibuat selepas mendapat restu semua yang mahukan kawasan Parlimen Pasir Salak kembali dimenangi oleh BN (Barisan Nasional)," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Faizal merupakan Naib Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak bakal berdepan dengan Timbalan Ketua UMNO bahagian itu, Khairul Azwan Harun yang turut bertanding jawatan sama pada pemilihan kali ini.
Khairul Azwan merupakan calon BN bagi Parlimen Pasir Salak pada Pilihan Raya Umum ke-15 gagal mempertahankan kerusi berkenaan apabila tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Jamaludin Yahya dalam pertembungan empat penjuru dengan majoriti 5,003 undi.
Pada 30 September lalu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO memutuskan keahlian Tajuddin digantung selama enam tahun sekaligus menghalang pemimpin veteran itu mempertahankan jawatan parti di peringkat bahagian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!