RM77,300 bina dua menara tangki air di Pekan, Pahang

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Saksi ke-8 pendakwaan, Daud Muhammad, 53, memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari ini, dia telah menerima cek berjumlah RM77,300 daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Saifuddin Hashim Musaimi pada perbicaraan hari ke-6 semasa sesi pemeriksaan utama, Daud yang merupakan pemilik syarikat Shahdila Enterprise memberitahu, cek tersebut adalah sebagai tuntutan bayaran bagi kerja-kerja yang telah dilakukan syarikatnya di kediaman rasmi Najib di Seri Kenangan, Pekan, Pahang.

Menjelaskan mengenai prospek kerja yang dilakukan bagi bayaran tersebut, Daud memaklumkan, syarikat kendaliannya telah membina dua buah menara tangki air, kerja membaiki alat penyaman udara, membaiki atap bocor serta pendawaian elektrik.

"Pada sekitar 2013, saya telah membuat satu sebut harga untuk kerja-kerja membina dua menara tangki air iaitu membina menara tangki air tiga tingkat dan dua tingkat kepada penyelia rumah.

Sekitar 2014 beliau memaklumkan kerja-kerja tersebut dimulakan yang mengambil masa lebih kurang tiga bulan disebabkan musim hujan ketika itu,"ujarnya.

Menurut Daud kos yang dituntut bagi kerja pembinaan dua buah menara tangki air itu menelan belanja RM67,000.

Selain itu, Daud turut memaklumkan dia juga telah membuat beberapa kerja lain sebelum membina menara tangki.

"Saya ada membuat penyelenggaraan di rumah tersebut seperti membaiki alat penghawa dingin, kerja-kerja pendawaian elektrik, dan membaiki atap bocor melibatkan tuntutan sebanyak RM9,540.

Artikel Berkaitan:

Selain itu terdapat juga satu invois berjumlah RM760 untuk kerja baik pulih tombol pintu dan ganti tangki dapur yang rosak," katanya.

Sehubungan itu, Daud berkata, pihaknya mengemukakan tiga invois sebelum tuntutan itu dibayar melalui satu cek.

Menurutnya sejurus menerima cek daripada penyelia rumah tersebut bernama Zainudin Abd Aziz di Bangunan UMNO Pekan sebelum ke bank untuk ditunaikan.

Sementara itu, semasa sesi soal balas oleh Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Daud berkata selain merupakan kediaman rasmi, Seri Kenangan juga merupakan pejabat Ahli Parlimen Pekan itu kerana banyak kerja-kerja dan operasi berkaitan parti dijalankan di situ.

"Ada banyak acara keramaian diadakan di rumah tersebut termasuk acara politik, agama, kebajikan dan sebagainya,"ujarnya.

Sementara itu, Daud memaklumkan keterangannya telah diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2015.

Daud berkata, pembinaan dua menara tangki air itu sememangnya menjadi keperluan untuk kegunaan orang ramai dan keluarga Najib.

"Tangki sedia ada telah rosak dan dimasuki musang. Pada pendapat saya memang perlu ianya diganti baharu kerana sebelum ini ia telah tiga atau empat kali diperbaiki," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!