Cuepacs akur, terima maklum balas PM dengan terbuka

Adnan
Adnan
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akur dan menerima maklum balas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan hati yang terbuka berhubung isu kenaikan gaji melibatkan golongan penjawat awam.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, penjawat awam akan terus menyokong dasar kepimpinan kerajaan yang mengutamakan kepentingan rakyat dan negara.

“Cuepacs terima maklum balas Perdana Menteri dengan hati terbuka dan menyambut baik pandangan Perdana Menteri yang semestinya penjawat awam dekat di hati beliau.

“Penjawat awam akan terus memberikan khidmat tanpa berbelah bahagi dalam menyokong dan melaksanakan dasar kerajaan khususnya teras dalam rukun Malaysia Madani demi kepentingan rakyat dan negara.

“Insya-ALLAH bersama kita memakmurkan negara dan rakyat,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Cuepacs sebelum ini menzahirkan kekecewaan berhubung Belanjawan 2023 yang didakwa tidak mampu menyelesaikan masalah tekanan kos sara hidup dihadapi oleh penjawat awam ketika ini.

Bagaimanapun Anwar pada Isnin meminta penjawat awam bersabar dan memberi peluang kepada kerajaan untuk mengukuhkan ekonomi negara terlebih dahulu sebelum isu membabitkan mereka, meliputi kos sara hidup, dapat ditangani.

Menurut beliau, negara ketika ini berdepan hutang mencecah RM1.5 trilion dan defisit pada 5.6 peratus.

Jelasnya, kerajaan tidak boleh bersetuju dengan desakan Cuepacs, termasuk berhubung kenaikan gaji penjawat awam kerana ia akan meningkatkan defisit negara.

Dalam pada itu, ujar Adnan, Cuepacs menaruh keyakinan terhadap percaturan Perdana Menteri dalam usaha menjaga kebajikan golongan penjawat awam di negara ini.

“Cuepacs menyuarakan suara hati daripada majoriti penjawat awam. Apa jua keputusan kerajaan sudah tentu diterima baik oleh penjawat awam

“Cuepacs yakin Perdana Menteri mempunyai percaturannya tersendiri dalam menjaga kebajikan warga penjawat awam yang sentiasa dekat di hati beliau,” menurutnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!