10 syarikat swasta setuju bantu kerajaan perkasa TVET
CYBERJAYA - Sebanyak 10 syarikat swasta terbesar akan memeterai memorandum perjanjian (MOA) dengan kerajaan dalam masa terdekat sebagai permulaan ke arah usaha memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kata Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.
Sivakumar berkata, kerajaan melibatkan pihak swasta untuk memperkasakan TVET kerana program berkenaan yang kini melibatkan 12 kementerian, menelan belanja yang besar tetapi mahasiswa yang dihasilkan tidak menepati keperluan industri.
Menurutnya, perbelanjaan untuk TVET adalah tinggi sehingga mencapai RM6.7 bilion dan kaedah terbaik adalah menjalinkan kerjasama dengan syarikat swasta untuk mengurangkan bebanan yang ditanggung kerajaan dan dalam masa sama dapat mengelak masalah ketakpadanan.
"Kerajaan akan menyediakan premis dan tenaga pengajar manakala syarikat swasta terlibat menyediakan peralatan dan teknologi mengikut sektor masing-masing supaya kursus yang dibuat itu benar-benar diperlukan industri," katanya kepada media selepas merasmikan bengkel Young Employable Students (YES!) 2023 anjuran Talent Corp Malaysia (TalentCorp) di sini pada Isnin.
Sementara itu, Sivakumar berkata, program YES! 2023 dijangka menarik 6,000 pelajar terutamanya bakat TVET bagi mengukuhkan usaha mencapai kebolehpasaran pekerjaan.
Menurutnya, program YES! telah memberi manfaat kepada lebih 30,000 pelajar sejak diperkenalkan 2019.
Pelaksanaan inisiatif YES! mengambil kira Kajian Senarai Pekerjaan Kritikal oleh TalentCorp yang mendapati cabaran terbesar dihadapi oleh bakat muda tempatan dalam pasaran kerja adalah jurang kemahiran insaniah seperti komunikasi, kemahiran penyelesaian masalah dan kemahiran berfikir secara kritis, katanya.
Sementara itu, Sivakumar berkata, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mendapat pengiktirafan antarabangsa Zero Project Award dalam kategori pendekatan berinovatif menerusi portal pekerjaan 'MYFutureJobs' atas sumbangan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) yang memberi akses peluang pekerjaan.
Menurutnya, Perkeso berjaya menempatkan seramai 50,984 individu OKU ke alam pekerjaan dalam tempoh 2020 sehingga kini.
Perkeso menerima anugerah itu bersempena Persidangan Zero Project bertema "Independent Living and Political Participation, and ICT (teknologi maklumat dan komunikasi)" yang dianjurkan di Vienna, Austria baru-baru ini.
Portal MYFutureJobs menyediakan perkhidmatan pekerjaan inklusif dan komprehensif merupakan antara 71 pendekatan atau penyelesaian berasaskan ICT dari 42 negara yang menerima anugerah tersebut dalam kategori pendekatan berinovatif. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!