Izham tetap bersemangat walaupun terima jahitan di kepala
PENJAGA gol Sri Pahang FC, Izham Tarmizi Roslan tekad bangkit selepas pulih daripada kecederaan kepala setelah bertembung dengan pemain Negeri Sembilan FC (NSFC), pada aksi Liga Super di Paroi pada malam Ahad.
Pemain berusia 32 tahun itu memaklumkan mengenai keazamannya itu di laman sosial Sri Pahang FC pada Isnin.
Izham tampil menerusi video yang dimuat naik di Facebook dan Twitter dalam keadaan kepalanya berbalut sambil memberitahu menerima beberapa jahitan.
"Alhamdulillah keadaan saya sihat dan baik. Ada sedikit jahitan tetapi tidak ada masalah.
"Saya akan bangkit pada perlawanan akan datang dan terima kasih kepada peminat, kawan yang mendoakan saya," katanya.
Suami kepada selebriti, Mia Ahmad itu mengalami kecederaan di kepala selepas bertembung dengan pemain lawan, Hasbullah Abu Bakar hingga menyebabkan dia dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Insiden berlaku pada minit-minit akhir babak pertama dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Pada aksi tersebut, pasukan tuan rumah terlebih dahulu di depan menerusi jaringan Casagrande pada minit ke-21 sebelum Abdul Malik Mat Ariff menjaringkan gol penyamaan buat skuad Tok Gajah pada minit ke-48.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!